KEPERLUAN MEMPERKASA PENDIDIKAN ALAM SEKITAR | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » KEPERLUAN MEMPERKASA PENDIDIKAN ALAM SEKITAR

KEPERLUAN MEMPERKASA PENDIDIKAN ALAM SEKITAR

KEPERLUAN MEMPERKASA PENDIDIKAN ALAM SEKITAR

 

Kemerosotan mutu alam sekitar kini semakin meruncing akibat campur tangan keterlaluan manusia dalam merubah persekitaran semula jadi sehingga telah menimbulkan pelbagai bencana yang akhirnya mengganggu kelestarian dan kesejahteraan manusia sejagat. Maka, manusia perlu dididik agar menghargai dan melindungi khazanah yang berharga ini demi kelangsungan hidup mereka di muka bumi. Antara kaedah yang paling berkesan adalah dengan mengintegrasikan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran di sekolah baik di peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan generasi yang terdidik dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek pemeliharaan alam sekitar.

 

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DAN MATLAMATNYA

 

Di peringkat global, elemen pendidikan telah diterima sebagai satu alat yang asas untuk mengawal alam sekitar dan juga pembangunan lestari. Pengajaran pendidikan alam sekitar berkait rapat dengan matlamat negara untuk membina masyarakat yang sensitif dan memiliki pengetahuan yang tepat, kemahiran dan nilai terhadap isu alam sekitar dan berkeupayaan untuk memberi sumbangan kepada penyelesaian masalah alam sekitar. Pendidikan Alam Sekitar merujuk kepada usaha terancang yang dilakukan untuk mendidik masyarakat sama ada secara formal atau sebaliknya supaya kesejahteraan dan kelangsungan hidup masyarakat dan alam sekitar terpelihara dan berkekalan. Pendidikan Alam Sekitar adalah suatu proses pendidikan tentang alam sekitar, melalui alam sekitar dan untuk alam sekitar.

 

Istilah pendidikan alam sekitar dipelopori Thomas Pritchard pada 1958 ketika Persidangan Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) di Paris. Persidangan Tsibilisi dianjurkan pada 1977 merupakan adalah Persidangan Pendidikan Alam Sekitar pertama di dunia. Melaluinya, garis panduan, matlamat dan objektif pendidikan alam sekitar merentas kurikulum dan latihan dalam dan praperkhidmatan bagi guru diputuskan. Seterusnya, pada 1991 Seminar Latihan Alam Sekitar anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengesyorkan matlamat utama pendidikan alam sekitar adalah membantu masyarakat global menyedari dan memahami isu alam sekitar. Di samping menguasai kemahiran dan kesungguhan dalam mengatasi isu alam sekitar serta mengekalkan kualiti alam sekitar dan meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

 

Sehubungan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memperkenalkan konsep Education for Sustainable Development (ESD) atau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari seawal 1983 kerana menyedari pembangunan tidak dapat dielakkan tetapi ianya boleh dilakukan dengan kaedah yang lebih lestari dan mampan jika meletakkan pendidikan sebagai kuncinya. Tujuan ESD adalah untuk memberikan pendidikan kepada semua pihak, dari sekolah, masyarakat, industri ke kerajaan, supaya menyedari kesan pembangunan yang dilakukan terhadap ketidakseimbangan sosial, ekonomi dan alam sekitar, kemudian mengambil tindakan bagi mengelakkan kesan buruk pembangunan yang tidak lestari. Pada tahun 2015 pula, PBB memperkasakan usaha ESD ini dengan memperkenalkan Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Lestari yang mengandungi 17 matlamat yang perlu dicapai menjelang tahun 2030 supaya dunia ini mengekalkan keseimbangan walaupun mengalami pembangunan pesat.

 

Artikel 13 dari Konvensyen Kepelbagaian Biologi mengarahkan setiap negara yang menandatangani perjanjian itu, termasuk Malaysia untuk mempromosikan dan menyokong usaha ke arah pemahaman dan pembangunan program pendidikan dan kesedaran awam. Ia selaras dengan hasrat membentuk  populasi manusia yang  mempunyai  pengetahuan,  kemahiran,  sikap,  motivasi  dan  komitmen  untuk  bekerja secara  individu  dan  kolektif  dalam  menyelesaikan  masalah  persekitaran  pada  masa  kini dan mencegah masalah baru daripada muncul.  Ia juga bermatlamat membina komitmen dan tanggungjawab sosial berteraskan  pandangan  holistik  tentang hubungan manusia dan alamnya. 

 

Maka,  ilmu  pengetahuan  berkaitan  alam  sekitar  amat  penting  diterapkan  dalam  kalangan rakyat Malaysia kerana jika pengetahuan tersebut  diiringi  dengan  kesedaran  yang tinggi ianya akan mampu  membentuk  amalan  yang  baik  iaitu hubungan lestari dalam  interaksi  ahli  masyarakat  dengan  alam  sekitar. Lantaran itu, di Malaysia, pendidikan alam sekitar mula diberikan perhatian terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980). Objektif utamanya adalah bagi memastikan generasi yang bakal mewarisi negara diterapkan tanggungjawab dan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar serta tahu cara menjaga atau melindungi sumber alam semula jadi negara.

 

Dapat dirumuskan, pendidikan sama ada formal atau tidak formal antara instrumen paling berkesan dalam memupuk semangat mencintai dan menghargai alam sekitar terutamanya kalangan generasi muda. Justeru, pendidikan dan ilmu berkaitan penjagaan serta perlindungan alam sekitar harus dimulakan pada peringkat awal supaya menjadi asas kepada pembentukan sikap dan tingkah laku positif generasi muda ketika berinteraksi dengan alam sekitar. Seperti pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitu juga kalau mahu melahirkan generasi cintakan alam sekitar, didiklah mereka bermula dari peringkat kanak-kanak lagi agar dapat membudayakan amalan  pemuliharaan alam sekitar dengan lebih berkesan.

 

Disediakan oleh,

Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman

Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Tarikh Input: 15/06/2023 | Kemaskini: 15/06/2023 | yubin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEYFAd~