Jom Masuk U 2024 Zon Tengah UPM@FPSK | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Jom Masuk U 2024 Zon Tengah UPM@FPSK

Jom Masuk U 2024 Zon Tengah UPM@FPSK

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih untuk menjadi tuan rumah penganjuran Program Jom Masuk U Zon Tengah II Tahun 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program ini telah berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 11 dan 12 Mei 2024 bertempat di Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. Program ini bertujuan untuk mempromosikan program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam, Universiti Swasta, juga dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mensasarkan golongan para pelajar di peringkat Menengah serta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma atau setaraf serta sekolah- sekolah antarabangsa sekitar Lembah Klang.

Turut serta dalam program ini ialah pempamer dari agensi luar dengan jumlah keseluruhan pempamer sekitar 70 agensi. Sebagai salah satu pengisian, lawatan sekolah diberi pilihan untuk aktiviti lawatan sambil belajar ke beberapa tempat penarikan iaitu Muzium Anatomi Manusia dan Muzium Patologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Muzium Anatomi Haiwan di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Muzium Warisan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) serta Taman Konservatif di Institut Biosains (IBS).

FPSK telah menerima seramai 84 pengunjung pada 11 Mei 2024 yang terdiri daripada pelajar peringkat Menengah yang diiringi oleh guru. Di antaranya adalah Sekolah Menengah Kebangsaan SS17, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1). Manakala pada 12 Mei 2024, bilangan pengunjung adalah seramai 64 orang dari dua (2) buah sekolah iaitu Sekolah Sultan Alam Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle Sentul. Aktiviti ini secara langsung dapat mempromosikan program pengajian Pra Siswazah secara lebih dekat dan membuka minat kepada pelajar melalui taklimat program serta lawatan ke muzium yang dikendalikan oleh Penyelaras yang terdiri dari Pakar Perubatan dan Pakar dari setiap program Sains Kesihatan serta staf Fakulti.


Program ini telah melibatkan seramai 34 orang Pegawai Akademik dan 30 orang staf daripada pejabat Timbalan Dekan (Akademik Perubatan), pejabat Timbalan Dekan (Sains Kesihatan dan HEPA), Jabatan Anatomi, Jabatan Patologi dan Pejabat Am Dekan.

Date of Input: 23/05/2024 | Updated: 23/05/2024 | qayyumalemilhadie

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (12:04:33pm-12:09:33pm, 18 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]