HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2025

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2025

TAKTIK HALUS, ANCAMAN NYATA

Di sebuah taman permainan, Maurice dan rakan-rakannya asyik bermain. Namun, tanpa mereka sedari, aroma manis buah strawberry dari kepulan asap vape yang dihisap oleh sekumpulan remaja menarik perhatian mereka. Malah, reka bentuk warna-warni dan rasa buah-buahan oleh produk tembakau moden itu membuatkan mereka tertarik. Sayangnya, ini adalah contoh bagaimana taktik halus industri tembakau terus memikat golongan kanak-kanak.

Setiap tahun pada 31 Mei, dunia menyambut Hari Tanpa Tembakau Sedunia (World No Tobacco Day). Pada tahun 2025, WHO dan pejuang kesihatan awam di seluruh dunia telah bersatu untuk mendedahkan taktik licik yang digunakan oleh industri tembakau dan nikotin. Strategi pemasaran yang halus, ciri reka bentuk menarik dan penggunaan perisa seperti buah-buahan dan coklat menjadikan produk ini kelihatan tidak berbahaya dan malah menyeronokkan, khususnya bagi kanak-kanak dan remaja.

Industri tembakau tidak lagi sekadar menjual rokok biasa. Mereka memperkenalkan produk baru seperti vape dan produk tembakau dipanaskan (heated tobacco products). Vape, misalnya, menggunakan cecair yang mengandungi propylene glycol (PG), vegetable glycerine (VG), nikotin, dan perisa-perisa yang lain. Cecair vape ini turut didapati mengandungi bahan berbahaya seperti tobacco-specific nitrosamines (TSNAs), bahan penyebab kanser yang sangat berbahaya.

Selain nikotin, beberapa bahan lain yang ditemui dalam aerosol vape sangat membimbangkan. Risiko kerosakan kantung udara dan saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru dikenali sebagai ‘popcorn lung’ boleh menjadi salah satu kesan kepada kesihatan. Kajian terkini daripada salah seorang pakar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Emilia Zainal Abidin, mendapati satu daripada tiga orang yang menggunakan vape mengalami kerengsaan tekak. Ada juga yang mengalami pendarahan hidung, batuk, simptom seperti selesema, kahak berdarah dan sesak nafas. Selain risiko terus dari penggunaan produk tembakau dan vape, asap rokok pasif (secondhand smoke) dan asap rokok yang melekat pada permukaan (thirdhand smoke) juga membawa ancaman besar kepada kesihatan.

Pendedahan kepada asap rokok pasif boleh menyebabkan kesan keradangan dan masalah pernafasan dalam masa 60 minit selepas terdedah, dan kesan tersebut boleh berlanjutan sekurang-kurangnya tiga jam selepas itu. Tiada tahap pendedahan asap rokok pasif yang dianggap selamat. Individu yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok pasif, walaupun untuk tempoh yang singkat, boleh mengalami kesan kesihatan serius seperti masalah pernafasan, jangkitan telinga dan peningkatan risiko asma, terutamanya bayi, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

Pada tahun 2024, Malaysia mengambil langkah penting dengan meluluskan Akta Kawalan Produk Tembakau untuk Kesihatan Awam (Akta 852) melalui usaha meratifikasi Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau. Dalam menghadapi taktik halus industri tembakau, peranan ahli sains kesihatan  dan perubatan sangat penting dalam menjalankan penyelidikan, diagnosis, rawatan, sokongan pesakit yang terjejas dan mendidik masyarakat demi menangani ancaman nyata terhadap kesihatan akibat produk tembakau.

Dr. Nor Eliani Ezani

Pensyarah Kanan

Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 31/05/2025 | Kemaskini: 12/06/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
S, (04:59:54am-05:04:54am, 09 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]