HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2026 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2026

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2026

Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026: Rokok Elektronik Bukan Pilihan yang Selamat

Setiap tahun pada 31 Mei, dunia menyambut Hari Tanpa Tembakau Sedunia bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya tembakau dan produk berkaitan nikotin. Walaupun semakin ramai menyedari kesan buruk merokok, penggunaan rokok dan rokok elektronik masih menjadi cabaran besar kepada kesihatan awam, khususnya dalam kalangan golongan muda. 

Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 melaporkan bahawa sekitar 21.3% rakyat Malaysia dewasa adalah perokok (1). Data terkini pada tahun 2023 menunjukkan penurunan kepada sekitar 19% (2). Walaupun penurunan ini merupakan perkembangan yang positif, ramai individu kini beralih kepada rokok elektronik yang sering dianggap sebagai pilihan yang “lebih selamat”. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, baru-baru ini memberi amaran bahawa ketagihan nikotin kini dipersembahkan semula sebagai satu gaya hidup moden untuk menarik minat golongan muda. Beliau menegaskan bahawa bahaya produk tembakau dan nikotin moden bukan sahaja terletak pada kandungan kimianya, tetapi juga pada cara produk tersebut direka, diberi perisa dan dipasarkan supaya kelihatan tidak berbahaya serta diterima secara sosial. 

Kebimbangan ini disokong oleh data kebangsaan. Walaupun penggunaan rokok tradisional dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun menunjukkan penurunan kepada 6.2%, penggunaan rokok elektronik meningkat dengan ketara, dengan hampir 15% remaja dilaporkan menggunakan rokok elektronik (3). Trend ini amat membimbangkan kerana pendedahan awal kepada nikotin boleh menyebabkan ketagihan jangka panjang serta menjejaskan perkembangan otak remaja. 

Ramai individu mendakwa bahawa mereka merokok kerana tekanan harian. Ada yang merasakan merokok membantu mereka bertenang selepas penat bekerja atau belajar. Namun, rasa lega itu hanyalah sementara. Lama-kelamaan, badan menjadi semakin bergantung kepada nikotin untuk mendapatkan rasa “tenang”, sekali gus menjadikan seseorang lebih sukar berhenti. Apa yang lebih membimbangkan ialah rokok elektronik kini semakin mudah diperoleh, termasuk oleh pelajar sekolah. Walaupun Malaysia telah menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi mengawal produk tembakau dan rokok elektronik, masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menjual produk tersebut kepada golongan bawah umur. 

Merokok dan mengewap rokok elektronik bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna, tetapi juga kepada individu di sekeliling mereka. Asap rokok dan wap rokok elektronik boleh menjejaskan kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas. Dalam rumah, kereta atau ruang tertutup, bahan pencemar ini boleh kekal di udara dan menurunkan kualiti udara dalaman. Dari sudut kesihatan persekitaran, asap tembakau sebenarnya merupakan satu bentuk pencemaran udara dalaman yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada paru-paru dan kesihatan keseluruhan. Menteri Kesihatan turut mengingatkan bahawa penyakit paru-paru sering berkembang secara senyap tanpa gejala yang jelas pada peringkat awal. Ramai pesakit hanya didiagnosis selepas mengalami batuk berpanjangan, kesukaran bernafas, sakit dada atau penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, ketika penyakit mungkin sudah berada pada tahap yang serius. 

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026, marilah kita mengambil langkah kecil tetapi bermakna ke arah gaya hidup yang lebih sihat. Mengurus tekanan tidak semestinya melalui merokok. Aktiviti seperti bersenam, meluangkan masa bersama keluarga, mendapatkan rehat yang cukup dan melakukan hobi yang sihat merupakan cara yang lebih baik untuk menjaga kesihatan mental dan emosi. Bagi mereka yang ingin berhenti merokok atau mengewap rokok elektronik, dapatkan bantuan seawal mungkin. Pelbagai perkhidmatan sokongan, kaunseling dan program berhenti merokok disediakan bagi membantu individu bebas daripada ketagihan nikotin. Kesihatan bukan sahaja tentang melindungi diri sendiri, tetapi juga tentang melindungi orang yang kita sayang. Pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan kesihatan masa depan dan kesejahteraan generasi akan datang. 


Rujukan:

  • Institute for Public Health. (2020). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019: Vol. I: NCDs-Non-communicable diseases: Risk factors and other health problems. National Institutes of Health, Ministry of Health Malaysia.
  • Lim, K. H., Cheong, Y. L., Lim, J. H., Ghazali, S. M., Cheong, K. C., Teh, C. H., Heng, P. P., Marine, A. A., Cheah, Y. K., Saidin, N. S., Hashim, M. H. M., & Lim, H. L. (2025). Smoking among Malaysian adults aged ≥15 years: A secondary dataset analysis of Global Adult Tobacco Survey-Malaysia 2023 (GATS-M 2023). Tobacco Induced Diseases, 23, Article 10.18332/tid/211250. https://doi.org/10.18332/tid/211250
  • (2023, May 25). NHMS survey: Among Malaysian teens, smoking rate falls but vaping prevalence rises to 15%. CodeBlue. https://codeblue.galencentre.org/2023/05/nhms-survey-among-malaysian-teens-smoking-rate-falls-but-vaping-prevalence-rises-to-15pc/

Dr. Nur Faseeha Suhaimi
Pensyarah Kanan
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia

 

Tarikh Input: 31/05/2026 | Kemaskini: 31/05/2026 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (02:35:49pm-02:40:49pm, 31 May 2026)   02:35:57pm