FPSK Perkukuh Pendekatan Terapi Berasaskan Alam Melalui Program Bloom With Us 2026
SERDANG, 16 Jun – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa kesejahteraan komuniti menerusi penganjuran Program Bloom With Us: Rose & Sensory Garden Workshop 2026, sebuah inisiatif yang menggabungkan kepakaran akademik, penglibatan komuniti dan pendekatan terapi berasaskan alam bagi menyokong perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Putra-PDK (PUTRA-PDK), Jabatan Perubatan Rehabilitasi dengan sokongan FPSK UPM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pertanian Putra dan rakan strategik ini mengetengahkan pembangunan taman sensori sebagai medium pembelajaran terapeutik yang mengintegrasikan elemen rangsangan deria, pendidikan dan interaksi dengan alam semula jadi. Pendekatan ini diyakini mampu menyokong perkembangan kognitif, motor, emosi dan sosial kanak-kanak dalam persekitaran yang lebih kondusif dan inklusif.
Dekan FPSK UPM, Prof. Dr. Normala Ibrahim, berkata program tersebut mencerminkan komitmen fakulti dalam menterjemahkan kepakaran akademik kepada manfaat masyarakat melalui pendekatan yang bersifat holistik dan berimpak tinggi.
Beliau berkata, penglibatan ahli akademik, profesional kesihatan, industri dan komuniti dalam program ini membuktikan bahawa kerjasama strategik mampu menghasilkan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan, khususnya kanak-kanak berkeperluan khas serta keluarga mereka.
Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, yang turut menegaskan komitmen universiti dalam memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus diberi peluang mengembangkan potensi diri serta menikmati kehidupan yang lebih berkualiti melalui pendekatan pendidikan dan intervensi yang inklusif.
Ketua Program, Dr. Siti Noraini Asmuri, yang juga Pengerusi PUTRA-PDK UPM, berkata pembangunan taman sensori melalui program tersebut bakal menjadi ruang pembelajaran interaktif yang menyediakan pengalaman pembelajaran berasaskan rangsangan pelbagai deria.
"Kanak-kanak berpeluang meneroka pembelajaran melalui warna, tekstur tumbuhan, aroma bunga dan herba serta pelbagai elemen sentuhan dalam suasana yang lebih santai dan dekat dengan alam. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pembelajaran, malah membantu membina keyakinan diri, menggalakkan interaksi sosial serta menyokong perkembangan menyeluruh mereka," katanya.
Tambah beliau, program ini turut menjadi platform pemindahan ilmu kepada komuniti dengan memperkenalkan konsep terapi hortikultur dan penggunaan taman sensori sebagai salah satu pendekatan sokongan dalam intervensi awal serta pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian teknik penanaman bunga ros yang dikendalikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UPM, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz, di samping aktiviti membina taman sensori dan sesi interaktif bersama pelatih PUTRA-PDK yang melibatkan sukarelawan, staf akademik, pelajar dan rakan industri.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Pathmanathan A/L R. Nalasamy.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan FPSK dalam memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan dan penyelidikan, malah aktif menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui inisiatif berasaskan bukti, keterangkuman sosial dan kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak.
Oleh : Dr. Siti Noraini Asmuri
Tarikh Input: 30/06/2026 | Kemaskini: 30/06/2026 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506