SERDANG, 20 Julai – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Makmal Bionic Immersive Technology yang menghimpunkan lebih 150 tetamu terdiri daripada warga universiti dan rakan strategik bagi memperkukuh ekosistem pembelajaran digital berasaskan teknologi Realiti Maya (Virtual Reality, VR) di Dewan Kuliah Utama, FPSK.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, Naib Canselor UPM, yang dalam ucapan perasmiannya berkata, “Pelancaran Makmal Imersif pada hari ini merupakan satu langkah signifikan dalam mewujudkan ekosistem pembelajaran digital berasaskan teknologi Realiti Maya untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna, interaktif dan berimpak tinggi kepada para pelajar kita, khususnya dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.”