GIMIK SEJARAH HIDUPKAN SEMANGAT MERDEKA DI FPSK-HSAAS | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN medic
» BERITA » GIMIK SEJARAH HIDUPKAN SEMANGAT MERDEKA DI FPSK-HSAAS

GIMIK SEJARAH HIDUPKAN SEMANGAT MERDEKA DI FPSK-HSAAS

SERDANG, 13 OgosSesi Penilaian Acara "Kibar Jalur Gemilang" sempena Program Semarak Merdeka UPM 2025 peringkat Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) berlangsung penuh semangat dan elemen nostalgia petang semalam di Pekarangan Oval, Bangunan Makmal FPSK.

Program menampilkan gimik istimewa bertemakan “Imbasan Kembali: Sambutan Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan 1956 di Bandar Hilir, Melaka”, dengan kemunculan Encik Mohamad Taufik Rahmat yang membawa watak sebagai Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menaiki kereta klasik, diiringi konvoi motorsikal dan laungan “Merdeka” oleh warga fakulti dan hospital.

Ketibaan tetamu kehormat disambut paluan kompang dan bunga manggar sebelum para peserta disajikan dengan bacaan puisi oleh Pn. Noridah Md Top di hadapan lukisan dinding mural yang menjadi simbolik penggabungan fakulti dan hospital, serta naratif dramatik suasana keramat pengisytiharan tarikh kemerdekaan. Acara kemuncak diserikan dengan bacaan skrol pengisytiharan oleh "Tunku Abdul Rahman", laungan merdeka sebanyak tiga kali, dan nyanyian lagu Tanggal 31 oleh warga FPSK-HSAAS dan para juri yang hadir sambil Jalur Gemilang dikibarkan megah.

Ketua Penilai, En. Husalshah Rizal Bin Hussian, Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), mengetuai kumpulan 20 juri dalam sesi penilaian kreativiti serta penghayatan tema kemerdekaan warga FPSK-HSAAS. Acara kemuncak adalah tayangan video recap yang memaparkan semua aktiviti yang dijalankan sepanjang Ogos,  diakhiri dengan sesi bergambar di bulatan pekarangan oval dan di hadapan seni mural dan kereta klasik yang menjadi simbolik penting kepada semangat patriotisme pada majlis tersebut.

Program ini menzahirkan komitmen seluruh warga kampus dalam menghayati makna kemerdekaan bukan sekadar simbolik, malah sebagai warisan perjuangan yang terus subur dalam jiwa anak merdeka.

Tarikh Input: 14/08/2025 | Kemaskini: 14/08/2025 | qayyumalemilhadie

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (01:23:20am-01:28:20am, 18 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]