SERDANG, 24 April 2025 - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dengan meriah pada 24 April 2025, dari jam 2.00 hingga 4.00 petang bertempat di foyer fakulti.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebagai pembuka acara, diikuti dengan ucapan daripada Prof. Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof, Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan Hal Ehwal Pelajar & Alumni), FPSK.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan meraikan lebaran sebagai medium mempererat hubungan antara warga fakulti serta pihak pengurusan Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAAS) yang turut hadir memeriahkan suasana. Tidak dilupakan, titipan doa buat Dekan dan Pn. Hasliza selaku timbalan pendaftar yang juga tidak berkesempatan untuk turut serta atas faktor kesihatan.

Suasana dihiasi dengan warna-warni pakaian tradisional serta irama lagu raya yang menambahkan lagi kemeriahan sambutan. Turut hadir dalam majlis ini adalah ahli pengurusan FPSK dan HSAAS, warga fakulti serta para tetamu jemputan.

Pelbagai juadah enak disajikan kepada para tetamu, mencerminkan kepelbagaian citarasa masyarakat Malaysia sempena lebaran. Antara yang menjadi tumpuan adalah rendang, lemang, ketupat, aneka mee goreng, kuih-muih tradisional, pemanis mulut dan pelbagai minuman istimewa raya.

Acara lebih gamat dengan beberapa pertandingan yang dianjurkan, antaranya pertandingan Pakaian Tercantik bagi kategori lelaki dan wanita, serta pertandingan Gerai Tercantik mengikut tema Raya Sedondon. Selain itu, cabutan bertuah turut menjadi antara detik yang dinanti-nantikan oleh para hadirin.
Majlis berakhir pada jam 4.00 petang sejurus selesai acara kemuncak iaitu penyampaian hadiah kepada semua pemenang dan sesi bergambar.




Tarikh Input: 28/04/2025 | Kemaskini: 28/04/2025 | qayyumalemilhadie

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506