MedEd Fiesta 2024: Dikuasakan Oleh AI, Revolusi Dalam Pendidikan Perubatan | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN medic
» BERITA » MedEd Fiesta 2024: Dikuasakan oleh AI, revolusi dalam pendidikan perubatan

MedEd Fiesta 2024: Dikuasakan oleh AI, revolusi dalam pendidikan perubatan

SERDANG 6 Jun, - MedEd Fiesta 2024, anjuran Medical Education Research and Innovation Unit (MERIU), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, yang melibatkan pengamal perubatan, pensyarah akademik, dan pelajar dari seluruh negara telah berlangsung dengan berjaya dari 4 hingga 6 Jun 2024. Fiesta ini memfokuskan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam transformasi pendidikan perubatan melalui seminar, bengkel, forum, dan pameran yang menampilkan inovasi seperti simulasi pesakit dengan manikin dan platform pembelajaran atas talian.

Hari pertama bertemakan "Edu-Tech Evolution" menekankan penggunaan AI dalam pendidikan dengan sesi oleh Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin (UPM), Dr. Chong Chou Min (UPM) dan Prof. Madya Dr. Radhiah Shukri (UPM). Topik lain seperti penggunaan sosial media dalam pendidikan perubatan juga turut dibincangkan oleh Prof. Madya. Dr. Aneesa Abdul Rashid (UPM). Hari kedua yang bertemakan "Upskilling Educators and Learners," melibatkan sesi memberikan panduan kepada pendidik dan pelajar dalam menguasai kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, termasuk sesi oleh Prof. Madya Dr. Siti Nurma Hanim Hadie (USM), Prof. Madya Dato’ Dr. Ainul Syahrilfazli Jaafar (UKM) dan Prof. Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof (UPM). Untuk kedua-dua hari ini, forum bersama pelajar program perubatan berkaitan platform pembelajaran atas talian dan bagaimana mendepani cabaran sebagai seorang pelajar program perubatan juga diadakan secara atas talian.

Hari terakhir telah berlangsung secara fizikal di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM bertemakan “Health Professions Education Extravaganza” dengan forum "Chat and Chill: Surviving Educator Burnout" oleh barisan profesor dari FPSK iaitu Prof. Dr. Firdaus Mukhtar, Prof. Dr. Sazlina Shariff Ghazali, dan Prof. Dr. Amin Ismail, diikuti oleh "MedFlix: Lights, Camera, Education!" serta bengkel "Teach-Tech Tango: Hands-On AI Workshop for Educators" oleh Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin dan Prof. Madya Dr. Radhiah Shukri. Para peserta berpeluang mengaplikasikan penggunaan AI dalam pengajaran dan pembelajaran. Beberapa pertandingan dan aktiviti berkaitan pendidikan perubatan yang melibatkan penyertaan pelajar, staf UPM serta peserta program ini juga telah diadakan dan senarai pemenang diumumkan ketika majlis penutup MedEd Fiesta 2024. Pameran berkaitan pendidikan perubatan, dan jualan gerai makanan dan kendera saji juga turut memeriahkan suasana pada hari terakhir program ini.

MedEd Fiesta 2024 berjaya mencetuskan perbincangan mendalam mengenai masa depan pendidikan perubatan yang diperkasakan oleh AI. Dalam ucapan perasmiannya,  YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, menegaskan bahawa penerapan teknologi AI dalam pendidikan perubatan adalah langkah penting untuk masa depan yang lebih baik. Beliau berharap pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang acara ini memberi manfaat untuk jangka masa panjang, dan mengingatkan bahawa walaupun teknologi meningkatkan keupayaan kita, asas amalan perubatan tetap berpusat pada hubungan manusia dan empati. Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM komit untuk mengadaptasi teknologi baru dalam amalan pengajaran dan memastikan fakulti kita kekal di barisan hadapan terutamanya dalam aspek pendidikan perubatan.

Oleh: MERIU

Tarikh Input: 14/06/2024 | Kemaskini: 14/06/2024 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (03:14:52pm-03:19:52pm, 28 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]