Prof. Dr. Chee Hui Yee Dinobat Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN medic
» BERITA » Prof. Dr. Chee Hui Yee Dinobat Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) 2025

Prof. Dr. Chee Hui Yee Dinobat Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) 2025

Prof. Dr. Chee Hui Yee Dinobat Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) 2025

 

Profesor Dr. Chee Hui Yee telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Kategori Eksekutif) 2025, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan cemerlang beliau kepada negara, masyarakat, universiti serta bidang sains dan kesihatan awam.

Beliau merupakan pensyarah dan penyelidik di Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Sepanjang penularan pandemik COVID-19, Prof. Dr. Chee memainkan peranan penting dalam penubuhan Makmal Diagnostik PCR SARS-CoV-2 di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM, yang berfungsi sebagai antara pusat saringan utama peringkat universiti. Selain daripada sumbangan teknikal, beliau turut menjadi tokoh utama dalam menyampaikan maklumat kesihatan kepada orang awam melalui pelbagai saluran media dan ceramah umum, dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap langkah pencegahan COVID-19. Atas dedikasi dan komitmen luar biasa ini, beliau telah menerima Women of Excellence Award 2022 daripada Malaysian Chinese Women Entrepreneur Association.

Sumbangan beliau turut menjangkaui peringkat antarabangsa. Antara tahun 2021 hingga 2024, Prof. Dr. Chee telah dilantik sebagai Perunding Makmal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Malaysia, di mana beliau memberikan kepakaran teknikal dalam memperkukuh sistem respons makmal bagi wabak berjangkit di Malaysia, Brunei dan Singapura. Beliau juga aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa di bawah Yayasan Tzu Chi Malaysia, dengan penglibatan sebagai sukarelawan dalam misi bantuan di Filipina, Nepal, Serbia dan Perancis.

Di peringkat UPM, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan daripada pihak universiti, antaranya termasuk Anugerah Fellowship Naib Canselor 2018 (Kategori Penerbitan Makalah Jurnal), pencalonan ke Anugerah Akademik Negara 2018, Insentif Makalah Jurnal 2016, Inisiatif Pemerkasaan Penerbitan Jurnal 2020, serta Anugerah Penyelidik Berprestasi Tinggi 2020.

Fokus utama penyelidikan beliau adalah dalam memahami patogenesis virus denggi, termasuk pembangunan model in vitro bagi mengkaji jangkitan sekunder dan kebolehtelapan vaskular. Di samping itu, beliau turut menjalankan penyelidikan dalam bidang diagnostik molekular dan pembangunan antivirus untuk penyakit berjangkit seperti demam denggi, leptospirosis dan virus jangkitan saluran pernafasan. Dalam usaha meningkatkan keupayaan diagnostik di lapangan, beliau bekerjasama dengan penyelidik dari University of Cambridge, United Kingdom, bagi membangunkan kit diagnostik kos rendah yang mampu mengenal pasti pelbagai patogen dan digunakan berhampiran pesakit (point-of-care). Hasil penyelidikan beliau telah membolehkan beliau memegang dua paten dan memenangi pelbagai anugerah inovasi, termasuk Cabaran Inovasi Inklusif 2018, Expo Inovasi Penyelidikan dan Pembangunan Selangor 2019, PECIPTA 2019, dan PECIPTA 2022. Selain itu, beliau turut berperanan sebagai pakar rujuk penilaian harta intelek UPM, menzahirkan sumbangan beliau dalam memperkasakan agenda inovasi universiti.

Dalam bidang pengajaran, Prof. Dr. Chee telah menerima pingat di Putra InnoCreative International Carnival in Teaching and Learning (PicTL) serta dicalonkan untuk Anugerah Teaching Excellence 2019/2020 dan Anugerah Penyeliaan Cemerlang Siswazah 2021, menggambarkan komitmen beliau dalam membimbing pelajar ke arah kecemerlangan akademik.

Komitmen holistik Prof. Dr. Chee dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan khidmat masyarakat menjadikan beliau seorang tokoh ilmuwan yang dihormati dalam kalangan komuniti saintifik dan perkhidmatan awam. Semangat dan dedikasi beliau menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, khususnya golongan wanita, untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui ilmu, penyelidikan dan kepakaran.

Tarikh Input: 07/05/2025 | Kemaskini: 07/05/2025 | wansuzana

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (01:06:51pm-01:11:51pm, 13 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]