SERDANG, 7 Julai 2026 - Program Putra Renourish, sebuah program intervensi pemakanan yang memberikan tumpuan kepada peningkatan pengetahuan dan amalan pemakanan dalam kalangan pesakit dialisis dan penjaga telah berjaya dilaksanakan oleh pelajar tahun akhir, Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Dialisis Putra Renal Intervention & Dialysis Centre, UPM (PRINCE). Ia juga bertujuan bagi menyokong pengurusan penyakit buah pinggang kronik yang menjalani dialisis secara lebih berkesan dan praktikal.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM dengan Pusat Dialisis PRINCE, UPM sebagai usaha menghubungkan pembelajaran akademik dengan perkhidmatan komuniti melalui pendekatan pendidikan pemakanan yang berasaskan maklumat yang terkini dan mengikuti perkembangan semasa.
Program ini dihadiri Dato’ Prof Dr. Ahmad Farhan bin Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM, dan Prof. Dr. Zamberi bin Sekawi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
Penyelaras Praktikum Profesional Dietetik Komuniti (DTK4904), FPSK, UPM, Dr. Noraida Omar berkata program selama enam minggu itu dibangunkan berdasarkan dapatan penilaian keperluan yang dijalankan bersama komuniti pesakit hemodialisis. Beliau berkata penilaian tersebut mengenal pasti isu utama seperti pengambilan protein yang tidak mencukupi dan pengambilan makanan tinggi fosfat. Justeru, pelbagai intervensi pemakanan dan aktiviti interaktif telah dirancang bagi meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan pemakanan peserta.
Program yang diterajui oleh Saudara Ong Chong Yu, Pengarah Putra Renourish bertujuan meningkatkan kesedaran pesakit mengenai kepentingan pemakanan yang sesuai dalam pengurusan penyakit buah pinggang kronik yang menjalani dialisis. Melalui pelbagai aktiviti yang interaktif dan sesi pendidikan, para peserta didedahkan kepada pemilihan makanan yang lebih sesuai, pengawalan pengambilan nutrien penting semasa dialisis serta amalan pemakanan yang dapat dapat membantu meningkatkan kualiti hidup serta keberkesanan rawatan pesakit dialisis.
Disamping itu, bagi memperkukuh penyampaian pendidikan pemakanan, program ini diteruskan dengan sesi kaunseling berkumpulan sebagai aktiviti susulan bersama para peserta. Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil yang membolehkan sesi dijalankan secara lebih interaktif dan berfokus. Sesi kaunseling dijalankan berdasarkan tiga topik utama, iaitu pengambilan protein yang mencukupi, pengawalan pengambilan cecair dan pengurusan pengambilan fosfat.
Selain melibatkan pesakit dialisis, sesi kaunseling ini turut disertai oleh jururawat serta pembantu perawatan kesihatan (PPK) dari PRINCE, UPM. Penglibatan mereka membuka ruang untuk memahami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi oleh petugas kesihatan dalam membantu pesakit mengamalkan saranan pemakanan harian serta menguruskan pematuhan terhadap rawatan.
Sepanjang sesi berlangsung, peserta turut digalakkan untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan amalan pemakanan harian yang dihadapi semasa menjalani rawatan dialisis. Suasana kaunseling yang lebih mesra turut menggalakan penglibatan aktif peserta, sekaligus meningkatkan keyakinan mereka untuk mengamalkan perubahan pemakanan yang bersesuaian dengan pesakit dialisis.
Penganjuran Putra Renourish turut memberi peluang kepada pelajar tahun akhir dietetik UPM untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan (pembelajaran berasaskan pengalaman), kemahiran kaunseling pemakanan dan komunikasi profesional bersama komuniti dan pesakit, sekali gus memperkukuhkan kompetensi bakal pegawai dietetik sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Kerjasama erat antara pihak PRINCE dan Jabatan Dietetik UPM mencerminkan komitmen kedua dua pihak dalam memperkasa pendidikan kesihatan dan memperluaskan impak pemindahan ilmu kepada komuniti. Melalui pendekatan yang menggabungkan pendidikan dan intervensi pemakanan, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit dialisis dan penjaga, malah menyumbang kepada pembangunan graduan yang kompeten, berkemahiran serta bersedia memenuhi keperluan sektor penjagaan kesihatan negara.
Secara keseluruhan, melalui penganjuran Program Putra Renourish dan penglibatan aktif pelajar bersama komuniti, diharapkan lebih ramai pesakit dialisis memperoleh pengetahuan yang tepat berkaitan pemakanan, seterusnya mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Program ini juga diharapkan menjadi platform berterusan dalam meningkatkan literasi pemakanan dalam kalangan pesakit dialisis dan mengukuhkan hubungan antara institusi akademik dan Pusat Perkhidmatan Kesihatan demi manfaat masyarakat.
Tarikh Input: 16/07/2026 | Kemaskini: 16/07/2026 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506