Serdang, 22 November – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Management and Science University (MSU) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan profesional.
Majlis yang berlangsung di MSU, Shah Alam itu dimulakan dengan ucaptama oleh Presiden MSU, YBhg. Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid yang menekankan pentingnya perkongsian strategik untuk memperkasa pendidikan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan di Malaysia.
Naib Canselor UPM, YBhg. Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah dalam ucapannya, menyatakan keyakinan bahawa MoU ini akan membuka peluang baharu bagi membina jalinan antara universiti awam dan universiti swasta di Malaysia. Kerjasama ini sebagai platfom dalam memperkasakan agenda Visi dan Misi bagi kedua-dua institusi pengajian ini.
Seiring dengan asas kerangka strategik hala tuju UPM ke arah _‘True-North’_ dapat menggalakkan penglibatan secara global melalui pelbagai bentuk kerjasama yang berasaskan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan jalinan pengantarabangsaan.
Kemuncak acara adalah sesi tandatangan MoU yang menyaksikan Naib Canselor UPM diiringi oleh YBhg. Prof. Dr. Normala Ibrahim, Dekan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. Manakala Presiden MSU diiringi oleh YBhg. Prof. Dr. Mohamad Khairuddin Abdul Wahab, Dekan, International Medical School, MSU. Kehadiran mereka melambangkan komitmen kuat diantara kedua-dua pihak dalam merealisasikan objektif kerjasama ini.
Turut hadir ke majlis ini, YBhg. Prof. Dr. Hj. Hamidon Basri Pengarah Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM, Timbalan Pengarah (Klinikal) YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Fadhlina Zakaria dan Timbalan Pendaftar Kanan (HSAAS), YBrs. Tuan Hj. Mohd Aris Fadzilah Abdullah.
Tarikh Input: 25/11/2024 |
Kemaskini: 25/11/2024 | qayyumalemilhadie
PERKONGSIAN MEDIA