Pakar Cadang Lorong Motosikal Ditambah, Diselenggara Dengan Lebih Baik | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Pakar cadang lorong motosikal ditambah, diselenggara dengan lebih baik

Pakar cadang lorong motosikal ditambah, diselenggara dengan lebih baik

September 29, 2023 @ 4:53pm

SERDANG: Penambahan dan penyelenggaraan lorong motosikal di Malaysia perlu diberi tumpuan bagi mengurangkan kadar risiko penunggang motosikal yang menyumbang kepada rekod tertinggi kemalangan jalan raya setiap tahun.

Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Kulanthayan KC Mani, berkata pada tahun lalu, sebanyak 545,588 kemalangan direkod membabitkan 5,671 kemalangan maut dengan 6,080 kematian dan daripada jumlah itu, 4,101 adalah penunggang motosikal.

"Kita kena ingat Malaysia negara pertama dalam dunia yang memperkenalkan lorong motosikal, tetapi kita tidak menambahnya. Kalau pihak kerajaan boleh beri tumpuan dan penekanan untuk tambah lorong motosikal di tempat yang ada permintaan tinggi, kita boleh kurangkan kemalangan.

"Pada masa sama kita perlu pastikan penyelenggaraan di lorong motosikal sedia ada sentiasa dijalankan bagi membolehkan pengguna jalan raya mahu atau berminat untuk menggunakan lorong tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan ulung bertajuk Children Safety On The Road:Public Health Vaccines di UPM di sini hari ini.

Memetik Sweden dan Finland sebagai negara yang mempunyai sistem keselamatan jalan raya yang efisien, beliau berkata, Malaysia tidak boleh lari daripada hakikat mempunyai pengguna motosikal yang ramai dan berpendapat langkah intervensi oleh pihak kerajaan mampu mengubah statistik kemalangan jalan raya.

 

Kulanthayan yang juga pengasas dan Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia berkata isu keselamatan jalan raya membabitkan kanak-kanak pula perlu dilihat dari sudut kesihatan awam secara menyeluruh kerana golongan itu mempunyai enam kekangan utama yang memerlukan mereka ditemani oleh golongan dewasa ketika berada di jalan raya.

Beliau berkata, antaranya ialah tahap penglihatan kanak-kanak, kebolehupayaan untuk mendengar dan menganggarkan jarak kenderaan serta kesukaran untuk mengenal pasti pergerakan kenderaan.

Kulanthayan turut menekankan kepentingan penggunaan produk keselamatan jalan raya terhadap kanak-kanak iaitu kerusi keselamatan, pemakaian topi keledar (motosikal dan basikal), kamera papan pemuka dan jaket keselamatan.

Secara purata, lebih 6,000 kemalangan maut dilaporkan dari 2010 hingga 2022 dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 kematian adalah melibatkan kanak-kanak. – BERNAMA

 

sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1158776/pakar-cadang-lorong-motosikal-ditambah-diselenggara-dengan-lebih

Date of Input: 04/10/2023 | Updated: 04/10/2023 | ahmadmustafa

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEbUAU~