BUTA KERANA NAJIS KUCING | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » BUTA KERANA NAJIS KUCING

BUTA KERANA NAJIS KUCING

BUTA KERANA NAJIS KUCING

Kucing merupakan haiwan peliharaan yang tidak terlepas daripada diserang pelbagai jenis penyakit antaranya jangkitan dari parasit Toxoplasma gondii, salah satu parasit yang paling lazim di dunia. Walaupun penyakit ini bukanlah satu perkara asing, namun masih lagi ramai dalam kalangan masyarakat yang masih tidak mengetahui maklumat terperinci mengenainya.

Ramai yang beranggapan toxoplasmosis atau lebih dikenali sebagai penyakit bawaan kucing hanya menjangkiti pembela kucing, namun hakikatnya penyakit ini boleh menular kepada sesiapa saja. Kucing dan keluarganya (Felidae) berperanan sebagai perumah definitif manakala kebanyakan haiwan berdarah panas termasuk mamalia dan manusia adalah perumah perantara.

Seekor kucing yang dijangkiti T.gondii mampu mengeluarkan jutaan telur parasit (oosista) dalam najisnya. Terdapat beberapa kaedah penularan jangkitan tersebut, antaranya dengan memakan sayur-sayuran atau buah- buahan yang tercemar dengan oosista, mempunyai hubungan langsung dengan najis kucing yang mengandungi oosista seperti menyentuh tangan dalam mulut selepas berkebun atau membersihkan najis kucing, memakan daging mentah atau separuh masak yang tercemar, penggunaan perkakas atau papan pemotong yang belum dibersihkan selepas bersentuhan dengan daging mentah (yang mengandungi oosista) serta pemindahan organ atau darah daripada individu yang sudah dijangkiti dengan T.gondii. (Gambarajah: 1)

Kira-kira hampir 25 hingga 30% populasi dunia dijangkiti oleh parasit ini dan kebanyakan pesakit yang dijangkiti Toxoplasma mungkin tidak menyedari bahawa mereka sudahpun dijangkiti oleh disebabkan simptomya yang tidak ketara seperti demam, letih dan lenguh badan. Toxoplasmosis boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kepada organ penting badan, salah satunya pada mata, dan dinamakan sebagai Ocular Toxoplasmosis.

Ocular toxoplasmosis adalah jangkitan pada bahagian retina dan koroid (lapisan dalam mata) dan merupakan salah satu penyebab utama keradangan pada mata yang serius. Simptom yang dialami oleh pesakit bergantung kepada bahagian mata yang terjejas antaranya simptom mata merah, berair dan terasa tidak selesa.

Mengenai Ocular toxoplasmosis aktif, radang pada gel mata - vitritis merupakan faktor pertama yang menyebabkan gejala visual seperti simptom pandangan berjerebu atau kelihatan berbintik - floaters. Jikalau jangkitan melibatkan bahagian titik peka mata; makula, atau radang yang serius, penglihatan pesakit boleh merosot. (Gambarajah: 2,3)

Namun demikian, ada segelintir pesakit mungkin tidak mengalami sebarang gejala dan hanya menyedari berkenaan dengan penyakit tersebut semasa melakukan pemeriksaan mata berkala, dan pada ketika itu penyakit tersebut lazimnya sudah tidak lagi aktif.

Diagnosis Ocular Toxoplasmosis ialah penyakit yang dikesan secara klinikal, oleh itu pesakit yang mengalami gejala ini haruslah mendapatkan rawatan segera dengan doktor mata.

Pemeriksaan serologi darah untuk mengesan antibodi Toxoplasma (IgG dan IgM) dengan menggunakan enzyme-linked immunosorbent assay (ELISA) dapat dilakukan untuk membantu doktor yang merawat. Selain itu, ujian darah TORCHES: toksoplasma, rubella, cytomegalovirus, herpes dan HIV, juga disarankan untuk dilakukan pada ibu yang hamil pada trimester pertama kehamilan bagi mengetahui kemungkinan adanya jangkitan terhadap ibu dan kandungan. Jangkitan terhadap kandungan turut boleh mengakibatkan bayi mengalami kecacatan penglihatan.

Rawatan bagi penyakit ini adalah ubat antiparasit, antibiotik dan ubat steroid yang harus diambil dalam tempoh 3 hingga 12 minggu. Adalah mustahak bagi pesakit untuk mendapatkan rawatan segera kerana antara komplikasi penyakit Ocular toxoplasmosis adalah parut kekal pada titik peka mata - macula scaring dan saraf mata lekang.

Selain itu, beberapa langkah pencegahan harus dilakukan bagi membendung penularan penyakit seperti membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan, membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak serta mengelakkan pemakanan daging mentah atau separuh masak.

Manakala bagi golongan berisiko tinggi seperti pemelihara kucing, beberapa langkah tambahan yang boleh dipraktikkan adalah dengan memastikan kucing peliharaan menjalani pemeriksaan berkala oleh doktor haiwan, mengelakkan dari memberi daging mentah kepada kucing peliharaan, terutama sekali kucing yang dibela di rumah, elakkan memelihara kucing sewaktu hamil serta memakai sarung tangan sewaktu membersihkan najis kucing dan segera mencuci tangan dengan air bersih.

 

Gambarajah 1: Kitaran hidup Toxoplasma Gondii.

 

 

 

Dr. Siti Hajar binti Darussalam

Pegawai Perubatan

Jabatan Oftalmologi

Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia

 

Dr. Rafidah Md Saleh

Pensyarah dan Pakar Oftalmologi

Jabatan Oftalmologi

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 29/09/2024 | Kemaskini: 02/10/2024 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (06:00:04pm-06:05:04pm, 07 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]