HARI SJOGREN SEDUNIA 2026:
APABILA SAINS AKHIRNYA MENYUSUL PENYAKIT
Setiap 23 Julai, dunia berhenti seketika untuk memperingati penyakit Sjogren. Tarikh ini adalah sempena penghormatan kepada Henrik Sjögren, pakar oftalmologi Sweden yang tesis kedoktorannya pada tahun 1933 mula mengaitkan mata kering, mulut kering dan sakit sendi sebagai satu keadaan yang sama.
Hampir satu abad kemudian, gabungan tiga simptom tersebut masih menjadi ciri utama penyakit ini bagi kebanyakan orang. Dengan harapan, tahun 2026 tidak lagi memandang remeh penyakit ini.
Ringkasan
Sjogren ialah penyakit autoimun progresif yang melemahkan. Ia merupakan penyakit autoimun reumatik kedua paling lazim.
Dalam keadaan ini, sistem imun menyerang kelenjar yang menghasilkan kelembapan, terutamanya kelenjar air mata dan kelenjar air liur. Ini menyebabkan kekeringan seperti rasa berpasir pada mata dan mulut.
Keletihan dan kesakitan juga merupakan ciri yang sering dipandang rendah. Ramai pesakit menggambarkannya lebih mengganggu kehidupan seharian berbanding kekeringan itu sendiri.
Sjogren boleh melibatkan sendi, paru-paru, buah pinggang, kelenjar tiroid dan sistem saraf. Untuk menjadikan keadaan lebih rumit, ia sering hadir bersama penyakit autoimun lain seperti lupus atau artritis reumatoid. Pesakit dengan keadaan ini juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap limfoma.
Kira-kira sembilan daripada sepuluh pesakit adalah wanita, kebanyakannya didiagnosis pada usia pertengahan. Walau bagaimanapun, diagnosis sering tertangguh selama bertahun-tahun kerana simptomnya banyak bertindih dengan proses penuaan biasa dan keadaan kesihatan lain.
Rawatan terkini
Sehingga kini, tiada terapi yang diluluskan mampu mengubah perjalanan penyakit Sjogren itu sendiri. Rawatan yang ada hanya - air mata tiruan, pengganti air liur, dan ubat imunosupresif.
Percubaan awal untuk menguji ubat biologik bersasar, termasuk rituksimab, secara umumnya gagal membuktikan manfaatnya dalam ujian klinikal yang ketat. Sebahagian daripada masalah ini bukan terletak pada ubat itu sendiri, tetapi pada cara ujian tersebut yang selalunya bergantung kepada penilaian subjektif pesakit terhadap kekeringan atau keletihan berbanding skor aktiviti penyakit yang objektif dan piawai.
Penemuan terbaru
Masalah penilaian itu akhirnya dapat diatasi. Penyelidik kini secara meluas menggunakan EULAR Sjogren's Syndrome Disease Activity Index, satu alat yang disahkan yang mengukur tahap keaktifan penyakit merentasi organ, bukan sekadar tahap kekeringan yang dirasai seseorang.
Perubahan dalam kaedah ini telah membolehkan ujian klinikal direka dengan lebih baik, dan seterusnya mula menghasilkan keputusan sebenar. Pada Januari 2026, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) memberikan status Breakthrough Therapy kepada ianalumab, sejenis antibodi monoklonal yang dibangunkan oleh Novartis.
Ianalumab bertindak dengan mensasarkan sel B, iaitu sel imun yang dipercayai menjadi punca utama kerosakan akibat Sjogren. Ia mengurangkan bilangan sel-sel ini serta menyekat isyarat yang dikenali sebagai BAFF-R, yang fungsinya adalah untuk mengaktifkan dan membantu kemandirian sel B tersebut.
Ujian klinikal ianalumab peringkat global dan berbilang pusat yang kini berada dalam Fasa III (NEPTUNUS-1 dan NEPTUNUS-2) menilai keselamatan dan keberkesanan ianalumab dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit Sjogren. Kedua-dua ujian klinikal ini telah menunjukkan perubahan positif dalam aktiviti penyakit dan ini secara tidak langsung mengurangkan beban penyakit kepada pesakit.
Telitacicept, satu lagi terapi yang turut mensasarkan sel B, juga telah menunjukkan keputusan positif dalam Fasa III bagi pengubahsuaian perjalanan penyakit Sjogren.
Sekiranya salah satu daripada ubat ini memperoleh kelulusan penuh, ia akan menjadi rawatan bersasar dan pengubah penyakit yang pertama seumpamanya untuk Sjogren. Segala rawatan yang digunakan setakat ini pada asasnya hanyalah dipinjam daripada rawatan lain atau digunakan semata-mata untuk mengurangkan simptom.
Mengapa Ini Penting
Ubat pengubah penyakit bukan sekadar merawat simptom. Ia mensasarkan mekanisme imun itu sendiri dan berpotensi memperlahankan penglibatan organ sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Bagi penyakit yang selama ini kurang mendapat tumpuan penyelidikan berbanding kelazimannya, ini merupakan satu perubahan yang bermakna. Beberapa lagi calon ubat berpotensi turut sedang melalui proses ujian, menunjukkan penyelidikan yang lebih meluas dan mendalam terhadap penyakit ini.
Walau bagaimanapun, penting untuk diingatkan bahawa semua ini tidak bermakna rawatan penyembuh akan diperoleh dalam masa terdekat. Semakan kawal selia mengambil masa, dan data dunia sebenar masih perlu mengesahkan apa yang didapati dalam ujian klinikal ini.
Hari yang Wajar Diperingati
Hari Sjögren Sedunia bukan sekadar untuk mereka yang menghidap penyakit ini; ia bertujuan untuk memberi penekanan dan kesedaran terhadap penyakit yang sering tersembunyi walaupun berada di depan mata. Diharapkan tahun ini akan menandakan sesuatu yang lebih jarang berlaku: momentum nyata di makmal yang diterjemahkan kepada harapan buat pesakit di seluruh dunia.
Bagi berjuta-juta insan yang menghadapi realiti Sjogren setiap hari, perbezaan ini bukanlah sesuatu yang kecil.
Dr. Shankari Sothirachagan
Pakar Oftalmologi dan Pensyarah Perubatan
Jabatan Oftalmologi
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
011-35259018
ssrachagan@upm.edu.my
Tarikh Input: 22/07/2026 | Kemaskini: 22/07/2026 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506