Hari Ahli Farmasi Sedunia 2024 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Hari Ahli Farmasi Sedunia 2024

Hari Ahli Farmasi Sedunia 2024

Hari Ahli Farmasi Sedunia 2024: Ahli Farmasi - Memenuhi Keperluan Kesihatan Global

Ahli Farmasi Nadi Sistem Kesihatan Global

Pada tanggal 25 September setiap tahun, ahli farmasi di seluruh dunia akan diraikan dengan sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia. Seperti tahun-tahun yang lalu, pada tahun ini kita akan sekali lagi menghargai peranan ahli farmasi dengan sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia yang bertemakan " Ahli Farmasi - Memenuhi Keperluan Kesihatan Global ".

Kita sering kali berfikiran dan diberikan gambaran bahawa seorang ahli farmasi itu tempatnya adalah di farmasi yang dikelilingi dengan pelbagai jenis ubat-ubatan di mana tugas mereka adalah mendispensi ubat-ubat ini mengikut preskripsi dari doktor yang merawat pesakit. Akan tetapi acapkali kita lupa di era yang kian mencabar ini, peranan ahli farmasi bukan hanya sekadar di sebalik tabir bilik dispensari ubat-ubatan di klinik-klinik atau hospital semata-mata, akan tetapi skop pekerjaan atau bidang tugas seorang ahli farmasi itu kini telah menjadi lebih luas. Mereka memainkan peranan yang sangat penting dan menjadi nadi serta tunjang utama dalam sektor kesihatan sebaris dengan petugas kesihatan yang lain didalam memastikan pesakit secara khususnya serta masyarakat secara amnya mendapat akses kepada ubat-ubatan dan rawatan yang berkualiti.

Mengimbas kembali ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, petugas-petugas kesihatan termasuk ahli farmasi adalah merupakan petugas barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam memerangi virus yang sedang tular. Mereka terlibat secara langsung dalam langkah pencegahan penyakit berjangkit ini melalui program vaksinasi secara besar-besaran serta saringan kesihatan. Selain itu, mereka juga adalah pasukan yang dipertanggungjawab untuk memastikan penyimpanan dan pengendalian vaksin COVID-19 adalah betul sebelum diberikan kepada masyarakat. Ahli farmasi perlu memantau suhu tempat simpanan vaksin secara berkala serta protokol dan garis panduan penyimpanan  vaksin yang  ditetapkan oleh pengeluar adalah dipatuhi.  Ini merupakan aspek yang sangat penting untuk mengelakkan kerosakan fizikal vaksin selain menjaga kualiti vaksin agar berada diparas optimum. Ahli farmasi juga berperanan dalam menjaga rantaian bekalan vaksin serta dokumentasi dan rekod penyimpanan.

 

Inovasi, kelestarian serta akses kepada ubat dan penjagaan kesihatan

Kini dengan ketersediaan teknologi maju yang bergerak pantas, ahli farmasi juga tidak ketinggalan dalam memastikan penjagaan kesihatan masyarakat selari dengan pembangunan global. Pelbagai inisiatif dan inovasi yang telah di bangunkan termasuklah telefarmasi, khidmat penghantaran ubat melalui pos dan terkini penghantaran ubat dengan menggunakan ‘drone’. Selain itu, ahli farmasi juga telah mengambil langkah penting dalam meminimumkan pembaziran ubat-ubatan dengan mempromosikan program pemulangan ubat-ubatan yang tidak digunapakai atau tamat tempoh dan mengamalkan kaedah farmasi hijau. Inisiatif ini amat penting dalam memastikan ubat dilupuskan dengan cara yang betul dan tidak dibuang secara sembarangan agar tidak mencemarkan alam sekitar terutamanya sumber air, untuk mengelakkan penyalahgunaan ubat-ubatan.

Sekiranya disenaraikan peranan ahli farmasi, pastinya tidak terjangkau tanggungjawab yang dipikul oleh mereka. Maka dengan adanya sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia 2024 ini, kita dapat menzahirkan rasa terima kasih serta penghargaan atas sumbangan ahli farmasi. Mereka memenuhi keperluan kesihatan global dengan memberikan perkhidmatan terbaik dari segi akses kepada ubat-ubatan sehinggalah kepada promosi program pencegahan penyakit.

Terima kasih, ahli farmasi!

Dr. Haniza Hassan

Pensyarah Kanan

Jabatan Anatomi Manusia,

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 25/09/2024 | Kemaskini: 30/09/2024 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (06:00:44am-06:05:44am, 13 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]