Hari AIDS Sedunia 2024 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Hari AIDS Sedunia 2024

Hari AIDS Sedunia 2024

HIV/ AIDS  Selepas Hampir 4 Dekad

HIV/AIDS yang dijangkiti melalui kontak cecair tubuh seperti darah, cecair sistem reproduktif, susu badan dan lain-lain cecair tubuh telah mula direkodkan sejak tahun 1981. Semasa ia mula dikesan pada awal tahun 80an dahulu, pola taburan jangkitan di dapati berlaku secara dominan di kalangan individu lelaki yang mengamalkan homoseksual dan mereka yang mengambil dadah melalui jarum suntikan.

Dari tempoh ia mula dikesan sehingga 2023, wabak HIV/AIDS telah meragut  sejumlah 42.3 juta di seluruh dunia. Pada tahun 2023 juga, dianggarkan 630 000 individu yang dijangkiti meninggal dunia manakala sejumlah 1.3 juta jangkitan baru direkodkan.

Kebanyakan mereka yang bergejala dan disahkan positif menunjukkan gejala jangkitan paru-paru disertai tahap imunokompromi yang teruk sehingga membawa kepada kematian. Tanpa rawatan, mereka yang dijangkiti HIV boleh mendapat jangkitan penyakit berjangkit yang lain seperti tuberkulosis, meningitis “cryptococcal”, jangkitan bakteria yang teruk dan kemungkinan tinggi mendapat kanser seperti limfoma atau Sarkoma Kaposi (Kaposi's sarcoma).

Pola jangkitan berikutnya merebak ke seluruh dunia, yang mana pola taburan tidak lagi terhad di kalangan mereka yang mengamalkan hubungan intim berisiko namun turut mengancam kumpulan wanita hamil dan kanak-kanak serta mereka yang tidak terlibat dengan amalan cara hidup berisiko.

Di Malaysia umpamanya, jangkitan HIV/AIDS telah mula dikesan pada tahun 1986. Meskipun dalam laporan klinikal menunjukkan pola berlaku secara dominan di kalangan mereka yang mengamalkan praktis homoseksual dan biseksual, namun pola wabak di Malaysia ketika era 80an dan 90an dahulu menjurus kepada golongan yang mengambil dadah terlarang secara suntikan serta sebahagiannya di kalangan ibu hamil dan bayi yang dilahirkan.

Perlaksanaan program pengurangan kemudharatan iaitu “Harm Reduction” yang memasukkan komponen menghentikan perkongsian jarum di kalangan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah secara suntikan telah menurunkan kadar transmisi HIV/AIDS melalui kaedah perkongsian jarum. Demikian juga dengan perlaksanaan pelbagai program untuk menangani kes-kes HIV di kalangan ibu hamil dan kanak-kanak, turut berjaya menurunkan peratusan mereka yang dijangkiti HIV/AIDS di kalangan kumpulan tersebut.

Dokumentasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan penurunan yang signifikan peratusan yang dijangkiti HIV/AIDS melalui transmisi vertikal (ibu kepada anak) yang mana Malaysia telah diisytiharkan sebagai negara pertama dalam rantau Asia Pasifik yang berjaya mengeliminasi HIV/AIDS melalui tularan ibu ke anak. Sejak 2016, kadar jangkitan dalam golongan tersebut kekal pada 1.8% .

Selepas hampir 4 dekad HIV/AIDS berada di Malaysia, pola jangkitan pada mulanya didapati meningkat pada era 80an dan 90an namun mulai dekad 2000an, ia secara umum telah menurun. Sebagai contoh kes baru HIV menurun sehingga 65% iaitu 6978 kes pada tahun 2002 kepada 3177 pada tahun 2022.

Didapati pola kes baru HIV/AIDS sejak tahun 2010 sehingga data terkini pada tahun 2023 pula agak mendatar. Meskipun pola jangkitan di kalangan ibu hamil dan kanak-kanak menurun, namun kita mendepani satu situasi yang memerlukan inisitif dan komitmen yang lebih tinggi dari semua pihak terlibat.

Peratusan di kalangan mereka yang mengamalkan hubungan intim berisiko iaitu di kalangan lelaki dengan lelaki atau mereka yang mempunyai kecenderungan biseksual meningkat dengan ketara. Pada masa ini, cara transmisi berkenaan mendominasi jumlah yang dikesan positif HIV.

Dari sudut taburan demografi pula, peratusan tertinggi yang dikesan positif sebagai kes baru HIV ialah mereka dalam kelompok berumur 20-29 tahun iaitu sebahagian besarnya di kalangan mereka yang baru meneroka alam pekerjaan atau masih berada dalam pengajian.

Tidak dinafikan rantau kita ini masih terikat dengan stigma dan persepsi negatif terhadap golongan yang memilih untuk berbeza dalam kecenderungan amalan hubungan seks. Stigma dan persepsi yang negatif inilah menjadi sebahagian penghalang terhadap sebahagian dari akses saringan dan rawatan.

Namun konteks pencegahan dan kawalan, kita memerlukan sokongan agar terus diperkukuhkan advokasi untuk membendung gaya hidup yang berisiko berkenaan dari terus merebak. Pengukuhan ikatan kekeluargaan, sokongan rakan-rakan yang mengamalkan cara hidup sihat serta kekal setia pada pasangan dan sentiasa patuh amalan cara hidup beragama merupakan tunjang untuk memastikan generasi remaja kita terlindung dari terdedah dalam pembudayaan berisiko terhadap jangkitan HIV/AIDS.

Prof Madya Dr. Malina Osman

Pakar Perubatan Kesihatan Awam

Jabatan Kesihatan Komuniti

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 01/12/2024 | Kemaskini: 01/12/2024 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (12:33:07am-12:38:07am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]