
Hari Alam Sekitar 2024
Pemulihan tanah, penggurunan dan ketahanan kemarau
Menurut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Memerangi Penggurunan, 40 peratus tanah di planet ini telah terdegradasi. Hal ini menjejaskan separuh daripada jumlah penduduk dunia secara langsung. Sejak tahun 2000, bilangan dan tempoh kemarau telah meningkat sebanyak 29 peratus. Tanpa tindakan segera, kemarau ini boleh menjejaskan lebih tiga perempat daripada penduduk dunia menjelang tahun 2050.
Malaysia kaya dengan biodiversiti dengan ekosistem tanah dan airnya. Namun, penggunaan tanah yang berubah-ubah ditambah dengan kemerosotan tanah dek kerana faktor seperti pertanian yang berlebihan, penebangan hutan dan urbanisasi yang tidak terurus mengurangkan biodiversiti kebanyakan ekosistem tanah. Tanah yang sihat menyimpan sejumlah besar karbon. Jika karbon ini dilepaskan dari tanah, suhu bumi akan meningkat secara mendadak. Perubahan dalam aliran air, pencemaran dan penggunaan sumber air yang tidak mampan menyebabkan ketegangan berkaitan air yang akhirnya mengurangkan kepelbagaian biologi akuatik. Di peringkat global, tanah berukuran sebuah padang bola terhakis setiap 5 saat. Sebaliknya, untuk menghasilkan tanah permukaan seluas 3 sentimeter memerlukan tempoh 1000 tahun.
Pencemaran, perubahan iklim dan krisis ekologi adalah cabaran semasa kepada planet. Natijahnya, ketidakterjaminan makanan di peringkat global. Di samping itu, populasi dunia dijangka akan meningkat sebanyak dua bilion orang menjelang tahun 2040. Unjuran penduduk Malaysia dijangka mencecah 41.5 juta orang dalam tempoh sama. Ini bakal menambah kerumitan dan cabaran kepada isu semasa ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memperkenalkan inisiatif dikenali sebagai Dekad Pemulihan Ekosistem (2021-2030) yang menyeru kepada penyelesaian berskala bagi melindungi dan memulihkan ekosistem di seluruh dunia. Tujuannya adalah untuk meningkatkan ketahanan terhadap kemarau dan iklim serta degradasi tanah. Dengan memulihkan sistem tanah dan kesuburannya, manusia boleh menjamin masa depan yang positif alam semula jadi, kurang pelepasan karbon dan planet yang sihat untuk semua.
Sebagai individu atau organisasi, kita boleh memberi kesan positif dengan menerapkan amalan mampan dalam kehidupan seharian kita, memulihara sumber dan menyokong penyelesaian mesra alam. Malah langkah kecil seperti menanam pokok, mengurangkan sisa atau menyokong tenaga diperbaharui mampu menyumbang kepada perubahan yang ketara. Bersama-sama kita boleh menjamin masa depan yang berkembang maju untuk planet kita.

Dr. Saliza Mohd Elias
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 05/06/2024 | Kemaskini: 23/07/2024 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506