
“Jika saya mendapat demensia, ingatlah bahawa saya tetap insan yang anda kenal dan sayangi”
Pengenalan
Hari Alzheimer Sedunia, yang disambut pada setiap 21 September, merupakan usaha global untuk meningkatkan kesedaran tentang demensia dan mencabar stigma berkaitan penyakit Alzheimer dan demensia lain. Tema kempen 2025: #AskAboutDementia, #AskAboutAlzheimer mengajak kita untuk bertanya—tentang simptom, pilihan rawatan dan penjagaan, cara mengurangkan risiko, serta sokongan yang tersedia bagi pesakit Alzheimer. Perbualan secara terbuka dapat mempercepatkan pengesanan awal, meningkatkan kualiti penjagaan, dan membina kefahaman masyarakat tentang penyakit Alzheimer, termasuk memahami bagaimana keadaan ini memberi kesan kepada lebih 55 juta individu di seluruh dunia yang hidup dengan demensia, serta penjaga mereka.
Apakah itu Demensia dan penyakit Alzheimer?
Seiring peningkatan jangka hayat, peratusan orang dewasa berumur lebih 60 tahun dalam populasi umum meningkat dengan pesat. Proses penuaan ini meningkatkan risiko berlakunya kesukaran kognitif dan fungsi, termasuk demensia. Namun demikian, perlu diingat bahawa demensia bukan sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Demensia merupakan istilah payung bagi pelbagai penyakit neurodegeneratif yang dicirikan oleh kehilangan kemahiran kognitif secara progresif. Keadaan ini memberi kesan ketara terhadap fungsi harian dan kualiti hidup, serta boleh meningkatkan kadar masalah kesihatan mental dalam kalangan individu yang terjejas.
Di Malaysia, kesan demensia semakin ketara. Data daripada NHMS 2018 melaporkan kadar prevalens pesakit demensia adalah sebanyak 8.5%.
Dengan kadar semasa ini, jumlah pesakit demensia dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada sekitar 637,500–825,000 orang menjelang tahun 2050, iaitu peningkatan sekitar 312% mencerminkan perjalanan pantas Malaysia ke arah status negara menua (“super-aged”). Demensia turut memberi kesan kepada kualiti hidup penjaga, yang sering berdepan beban fizikal, emosi, dan sosial.
Faktor umur yang semakin meningkat dan jantina wanita adalah antara faktor risiko demensia yang sering dilaporkan di seluruh dunia. Terdapat pelbagai punca demensia neurodegeneratif, dengan penyakit Alzheimer menjadi penyebab utama, merangkumi 60–70% kes demensia. Jenis lain termasuk demensia vaskular (10-20%), demensia frontotemporal (10%), demensia Lewy Body (5%), serta beberapa punca demensia neurodegeneratif yang jarang berlaku. Walau bagaimanapun, majoriti pesakit demensia tidak mendapat diagnosis formal kerana kebanyakan ahli keluarga masih menganggap simptom penyakit Alzheimer sebagai proses penuaan yang normal, menyebabkan rawatan perubatan yang khusus tertangguh.
Penyakit Alzheimer bermula dengan fasa praklinikal yang berpanjangan (kehadiran patologi plak amiloid tanpa gejala klinikal) yang boleh berlarutan lebih daripada sedekad. Fasa ini diikuti oleh fasa prodromal (gangguan kognitif ringan) dan akhirnya berkembang menjadi demensia nyata. Sepanjang kontinum ini, pentahapan biologi berpandukan kehadiran Aβ, tau dan neurodegenerasi diukur menggunakan imbasan PET dan biomarker cecair serebrospinal (CSF). Terkini, biomarker berasaskan darah telah muncul sebagai kaedah saringan awal yang kurang invasif, lebih berskala dan lebih kos efektif, sekali gus membolehkan penggunaannya secara lebih meluas di dalam bidang penyelidikan dan klinikal. Pada tahun 2025, FDA meluluskan nisbah plasma pTau217/Aβ42 Lumipulse G, iaitu ujian darah untuk pengesanan awal plak amiloid dalam kalangan individu berusia 55 tahun ke atas yang menunjukkan tanda atau gejala penyakit Alzheimer.
Mengapa Penting untuk Kita Peduli?
Secara global, setiap 3 saat seorang individu didiagnosis dengan demensia. Di Malaysia, sekitar 330,000 orang kini hidup dengan demensia — bersamaan dengan 1 daripada 12 rakyat dewasa berusia lebih 60 tahun. Menjelang tahun 2050, angka ini dijangka meningkat tiga kali ganda, dengan beban ekonomi dianggarkan mencecah RM8 bilion setahun.
Penyakit Alzheimer kekal sebagai punca utama demensia, sering dikaitkan dengan penyakit salur darah kecil serebrum (“cerebral small vessel disease”, CSVD), di mana terdapat perubahan kecil pada salur darah otak yang menjejaskan aliran darah, mempercepatkan kemerosotan kognitif, dan meningkatkan risiko demensia. Kajian juga menekankan peranan sistem glifatik (“glymphatic system”), iaitu “laluan pembersihan sisa” otak. Apabila sistem ini gagal, protein berbahaya seperti amiloid-β dan tau terkumpul, seterusnya memacu perkembangan penyakit Alzheimer.
Pada Hari Alzheimer Sedunia (21 September), kita diingatkan bahawa demensia bukan hanya soal kehilangan ingatan — tetapi melibatkan individu, keluarga, dan masyarakat. Meningkatkan kesedaran, menggalakkan diagnosis awal, serta memperkukuh penyelidikan terhadap mekanisme seperti CSVD dan disfungsi sistem glifatik adalah penting bagi pencegahan dan penjagaan yang lebih baikterhadap penyakit Alzheimer. Apabila kita berani bertanya soalan yang tepat, kita membuka ruang untuk bantuan lebih awal, meningkatkan empati masyarakat, dan menyemai harapan menuju masa depan tanpa demensia.

Dr. Hafizah Abdul Hamid
Pensyarah Kanan
Jabatan Anatomi Manusia
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 21/09/2025 | Kemaskini: 29/09/2025 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506