Hari Arthritis Sedunia 2024 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Hari Arthritis Sedunia 2024

Hari Arthritis Sedunia 2024

Hari Arthritis Sedunia 2024

Penyakit berkaitan sendi atau lebih dikenali sebagai artritis merupakan penyakit kronik yang mengakibatkan pengidapnya mengalami kesakitan pada satu atau beberapa sendi di dalam badan. Sekiranya tidak dikawal, penyakit artritis ini boleh memberi impak kepada mobiliti, fungsi dan kualiti kehidupan kepada para pengidapnya. Terdapat pelbagai jenis penyakit artritis. Antaranya adalah Osteoarthritis, Rheumatoid Arthritis, Gouty Arthritis, Psoriatic Arthritis dan Ankylosing Spondylitis. Osteoarthritis merupakan penyakit artritis yang sering kita lihat, dan di Malaysia, osteoarthritis ini terkesan kepada 10-20% populasi dewasa. Sendi yang sering terbabit adalah sendi lutut dan wanita sering terkesan berbanding lelaki.

Secara umumnya, rawatan penyakit artritis ini tertumpu kepada pengurangan kesakitan dan inflamasi serta mengekalkan fungsi dan pergerakan. Ini termasuk pengambilan ubat tahan sakit bila diperlukan dan fisioterapi. Senaman berimpak rendah dapat membantu mengekalkan kekuatan otot dan fleksibiliti sendi. Pembedahan pertukaran sendi terutamanya pada sendi lutut atau sendi pinggul hanya dilakukan sekiranya penyakit artritis ini gagal dikawal dan sendi terbabit telah rosak dengan agak teruk. Pembedahan pertukaran sendi ini telah terbukti keberkesanannya di seluruh dunia. Sekiranya ia dilakukan dengan indikasi yang betul, dapat membantu mengurangkan kesakitan dan mengekalkan fungsi serta mobiliti para pengidap penyakit artritis tersebut.

Hari Artritis Sedunia disambut setiap tahun pada tanggal 12 Oktober. Ia mula dilancarkan di seluruh dunia pada tahun 1996 dan diadaptasikan di Malaysia sekitar awal 20-an. Ia merupakan suatu pentas untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan berkaitan penyakit sendi. Tema Hari Artritis Sedunia pada tahun 2024 adalah ‘Pilihan Yang Tepat, Hasil Yang Lebih Baik’. Ia memberi penekanan tentang pentingnya pesakit-pesakit artritis mendapatkan maklumat tepat dan sahih untuk memperolehi hasil rawatan yang lebih berkesan.

Di dalam dunia pendigitalan kini, banyak maklumat yang boleh diperolehi oleh pengidap-pengidap penyakit artritis. Ada di antara maklumat yang diperolehi adalah berasaskan bukti dan boleh dipercayai. Namun begitu, terdapat juga maklumat-maklumat yang kurang tepat dan mengelirukan. Kepelbagaian maklumat dan data yang diperolehi oleh pesakit artritis ini, sama ada benar atau tidak, akan mengakibatkan keberkesanan untuk merawat penyakit tersebut mencabar. Oleh yang demikian, perlu ada kesinambungan perhubungan antara pesakit-pesakit artritis dengan pakar-pakar kesihatan profesional dalam membantu mempertejemahkan maklumat-maklumat yang diperolehi dengan tepat. Hanya dengan maklumat yang betul dapat menghasilkan rawatan yang berkesan.

Dr. Fahrudin Bin Che Hamzah

Pakar Perunding Ortopedik Dan Pensyarah Perubatan

Jabatan Ortopedik

Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 28/10/2024 | Kemaskini: 29/10/2024 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (09:23:48am-09:28:48am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]