
SATU GIGITAN, SATU NYAWA – CEGAH DENGGI DARI
RUMAH
Denggi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus denggi dan disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Terdapat empat serotaip utama virus ini (DEN-1 hingga DEN-4), dan seseorang individu boleh dijangkiti lebih daripada sekali seumur hidup—dengan setiap jangkitan membawa risiko komplikasi yang lebih serius. Antara gejala jangkitan termasuk demam panas, sakit kepala teruk, sakit belakang mata, sakit otot dan sendi, loya, muntah serta ruam kulit. Dalam kes yang teruk, denggi boleh menyebabkan pendarahan dalaman, kejutan (shock), dan kegagalan organ yang boleh membawa maut.
Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa seterusnya, langkah pencegahan mestilah diambil secara konsisten. Antara langkah utama termasuk mengosongkan dan membersihkan semua bekas berisi air seperti pasu bunga, tayar terpakai, baldi, longkang tersumbat, dan bekas minuman haiwan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Selain itu, penggunaan repelan nyamuk, pemakaian pakaian menutup anggota badan semasa waktu aktif nyamuk (6.00–8.00 pagi dan 6.00–8.00 malam), serta penanaman tumbuhan penghalau nyamuk seperti Cymbopogan nardus (Serai wangi), Lantana camara (Bunga tahi ayam), Ocimum basilicum (Bunga selasih), Vetiveria zizanioides (Akar wangi), Aloe barbadensis miller (Lidah buaya), Eurycoma longifolia (Tongkat ali), Azadirachta indica (Mambu) dan Pelargonium citrosum (Jeremin) turut membantu sebagai kaedah alternatif.
Sebagai usaha kolektif serantau, Sambutan Hari Denggi ASEAN dengan tema pada tahun 2025 “Towards Zero Dengue Deaths: Science, Strategy, and Solidarity” yang diraikan setiap 15 Jun, bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan bersepadu dalam menangani ancaman demam denggi di rantau ini. Sejajar dengan tema tersebut, peranan komuniti kita amat penting dalam usaha membasmi denggi.
Pendekatan COMBI (Communication for Behavioural Impact) merupakan satu inisiatif berasaskan komuniti yang menekankan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat. Salah satu tindakan utama yang boleh diambil oleh komuniti ialah memantau kawasan hotspot denggi melalui portal rasmi seperti iDengue. Melalui platform ini, penduduk bukan sahaja boleh menyemak lokasi wabak aktif, malah turut boleh melaporkan kawasan berisiko kepada pihak berkuasa. Kerjasama dalam aktiviti gotong-royong, pemantauan tempat pembiakan nyamuk, serta perkongsian maklumat yang tepat dapat mempercepatkan tindakan kawalan dan mengurangkan risiko jangkitan.
Statistik sehingga 12 Jun 2025 menunjukkan Malaysia telah merekodkan 27,989 kes denggi, dengan jumlah kes kematian seramai 16 orang. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 12,095 kes, diikuti oleh Wilayah Persekutuan (3,706 kes) dan Johor (3,050 kes). Pada hari tersebut sahaja, sebanyak 221 kes baharu telah dilaporkan di seluruh negara. Fakta ini jelas menggambarkan betapa mendesaknya keperluan untuk bertindak sekarang.
Oleh itu, kesedaran dan penglibatan aktif masyarakat merupakan kunci kejayaan dalam strategi pencegahan denggi secara menyeluruh. Mari kita bina masa depan yang bebas daripada kematian akibat denggi—bersama, bermula dari rumah kita sendiri.

Dr. Nina Fatma Ali
Pensyarah Kanan
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 14/06/2025 | Kemaskini: 14/06/2025 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506