HARI DENGGI ASEAN 2026 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI DENGGI ASEAN 2026

HARI DENGGI ASEAN 2026

Peranan Ikon Teladan dalam Tingkahlaku Positif Pencegahan Denggi

Sejarah denggi di negara kita telah bermula sejak awal kurun ke 20 yang lalu. Bermula sebagai jangkitan yang ditularkan di kawasan bandar pada tahun 1901, denggi seterusnya menyerang ke seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia. Ia seterusnya kekal sebagai penyakit berjangkit utama selepas Malaysia ditubuhkan dan mencatatkan beberapa episod jumlah kematian yang membimbangkan. Menelusuri pola jangkitan sejak 20 tahun yang lalu, Jabatan Kesihatan serta masyarakat keseluruhannya terus berdepan dengan cabaran demi cabaran untuk terus mengekalkan pola jangkitan ke tahap yang paling minima.

Jangkitan denggi sangat berkait rapat dengan pola tingkahlaku. Andai tingkahlaku dalam sesuatu komuniti itu terjurus untuk sentiasa memelihara kebersihan alam sekitar, mengambil inisiatif memusnahkan tempat-tempat pembiakan serta segera mendapatkan rawatan apabila berkemungkinan terkena jangkitan, ia didapati dapat membantu menurunkan kadar jangkitan seterusnya beban insiden di lapangan.

Kesan jangkamasa panjang tahap imuniti juga memainkan peranan. Meskipun sedemikian, disebabkan perubahan jenis strain virus dalam nyamuk Aedes dari satu musim ke musim yang lain, turut menyebabkan kesan ketara terhadap tanda-tanda klinikal dan gejala. Namun jika pola tingkahlaku positif untuk mencegah tularan denggi dapat dikekalkan, beban wabak di lapangan juga secara teorinya dapat dikurangkan.

Namun demikian, berdasarkan pengalaman di lapangan, kebiasaannya dalam amalan kesihatan dan perubatan, sesuatu gerakerja yang intensif bakal berpotensi untuk pudar selepas beberapa ketika. Ini terutama apabila bilangan kes mulai turun, dan keadaan wabak pulih seperti sediakala. Dalam keadaan sedemikian, kempen pencegahan mungkin di lihat bukan lagi keutamaan kritikal dan ada kecenderungan ianya dilakukan tidak sekerap seperti ketika sesuatu lokaliti di landa wabak berkenaan.

Justeru jika terjadi demikian, pola tingkahlaku komuniti juga seakan ‘tidak bermaya’ serta berkurangan kadar intensiti motivasinya. Oleh itu, peranan pempengaruh yang dapat menyedarkan masyarakat serta para petugas kesihatan barisan hadapan perlu sentiasa disemarakkan. Sudah pasti mereka yang mempunyai latar belakang yang dipercayai, terkenal serta diketahui mempunyai rekod yang baik dalam masyarakat perlu ke hadapan membantu dalam kempen untuk mengekalkan tingkahlaku positif terhadap pencegahan denggi.

Program gotong royong perlu dirutinkan sebagai aktiviti komuniti dari masa ke semasa dengan peruntukan yang bersesuaian dan mencukupi. Individu dalam masyarakat yang diketahui merupakan dari barisan pimpinan juga perlu memanfaatkan ruang membantu memupuk setiakawan serta kesukarelawanan dalam aktiviti pembersihan kawasan serta sentiasa menyuntik motivasi yang baik. Kombinasi antara pimpinan komuniti dan pempengaruh media sosial serta ikon yang terkenal adalah antara pilihan pada masa ini untuk menyegarkan kembali semangat di kalangan masyarakat untuk kekal dalam momentum pencegahan penyakit yang optima.

Fokus pencegahan jangkitan perlu diketengahkan melalui manfaat yang tersedia dalam pelbagai platform. Sudah pasti ianya memberikan pulangan yang berganda, bukan sahaja dari nilai komersial yang menjadi rebutan di kalangan pengguna media sosial namun impak positif ke arah tingkahlaku kesihatan yang baik.

Justeru, sempena Hari Denggi Asean 15 Jun 2026, ikon teladan dan pempengaruh disyorkan dapat bersama turun padang di lapangan membantu menyemarakkan lagi kempen-kempen pencegahan terutama untuk memupuk sikap positif pencegahan denggi.

Prof Madya Dr Malina Osman
Jabatan Kesihatan Komuniti
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 13/06/2026 | Kemaskini: 14/06/2026 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (04:30:22am-04:35:22am, 21 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]