
KE ARAH MEMUPUK KESEJAHTERAAN KOMUNITI BERSEMPENA HARI DIABETES SEDUNIA 2024
Pada 14 November, kita menyambut Hari Diabetes Sedunia, hari yang didedikasikan bagi meningkatkan kesedaran tentang diabetes serta kesannya terhadap individu dan masyarakat seluruh dunia. Tema tahun ini, Diabetes dan Kesejahteraan, menekankan kepentingan kesihatan secara menyeluruh — mengambil kira kesejahteraan fizikal, mental dan sosial dalam pengurusan diabetes. Sebagai sebuah masyarakat, kita mempunyai kekuatan untuk menyokong antara satu sama lain dalam memahami dan menguruskan penyakit ini dengan lebih berkesan.
Diabetes adalah sejenis penyakit kronik yang berlaku apabila badan tidak dapat menggunakan hormon insulin secara berkesan, menyebabkan paras gula dalam darah meningkat. Terdapat dua jenis diabetes yang utama iaitu diabetes jenis satu dan jenis dua. Diabetes jenis satu adalah penyakit ‘autoimun’, keadaan di mana badan tidak dapat menghasilkan insulin, manakala diabetes jenis dua sering dikaitkan dengan faktor gaya hidup serta ianya berlaku apabila badan tidak berupaya menggunakan insulin yang dihasilkan secara berkesan atau insulin tidak dihasilkan secara mencukupi.
Dengan lebih 422 juta orang dewasa menghidapi diabetes di seluruh dunia pada masa kini, adalah penting bagi kita semua untuk memahami kesannya serta mewujudkan persekitaran yang ‘lebih mesra’ dan positif terhadap mereka yang terjejas.
Tema Diabetes dan Kesejahteraan menekankan beberapa aspek. Pertama, kesejahteraan fizikal, termasuklah senaman secara konsisten dan mengambilan pemakanan yang seimbang amat memainkan peranan penting dalam pengurusan diabetes. Masyarakat atau komuniti setempat boleh menganjurkan acara yang bersesuaian terhadap penghidap diabetes seperti aktiviti fizikal secara berkumpulan. Sebagai contoh Larian Diabuddies dan Puteri Cove Quayside Merdeka Walkathon 2024 yang pernah dianjurkan sebelum ini bersempena kesedaran diabetes.
Kedua, kesejahteraan mental juga sangat penting kerana individu yang mempunyai diabetes terdedah kepada tekanan stres, kebimbangan, dan kemurungan. Disebabkan itu, rangkaian sokongan di mana seseorang individu dapat berkongsi pengalaman serta mempunyai akses terhadap bantuan adalah sangat penting. Selain itu, bengkel di peringkat komuniti yang memberi tumpuan kepada kesihatan mental juga amatlah bermanfaat. Sebagai contoh, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) ada menganjurkan bengkel pendidikan kesihatan mental melibatkan orang awam bagi memberi kesedaran.
Ketiga, kesejahteraan masyarakat yang menekankan akses kepada kesihatan yang berkualiti dalam komuniti. Antara langkah yang perlu dibuat adalah menyebarkan informasi organisasi dan persatuan sedia ada dalam komuniti seperti Diabetes Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Persatuan Diabetes Malaysia). Persatuan ini ditubuhkan bagi meningkatkan kesedaran, mencegah diabetes, dan menyediakan pendidikan serta sokongan. Antara inisiatif persatuan tersebut termasuklah pemeriksaan kesihatan secara percuma, penyediaan bahan pendidikan serta program yang menawarkan peranti pemantauan diabetes secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
Bersempena Hari Diabetes Sedunia, kita sebagai satu komuniti haruslah mengambil langkah bagi meningkatkan kesedaran dan memberi sokongan positif terhadap penghidap diabetes. Kita dapat menganjurkan bengkel berunsur pendidikan bagi menyebarkan maklumat tentang pengurusan diabetes, pemakanan sihat, dan aktiviti fizikal yang bersesuaian bagi semua peringkat umur. Di samping itu, peniaga tempatan juga dapat menawarkan pilihan makanan yang lebih sihat dan mewujudkan ruang selamat untuk beraktiviti seperti laluan pejalan kaki dan taman riadah yang bersesuaian. Selain itu, kumpulan sokongan yang terdiri daripada penghidap diabetes serta ahli keluarga perlu diwujudkan bagi memberi ruang perkongsian pengalaman dan strategi bagi menghadapi cabaran mengurus diabetes. Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan tempatan juga memainkan peranan penting bagi memastikan perkhidmatan penjagaan diabetes wujud dan mendapat akses secara mudah kepada komuniti setempat.
Akhir kata, Hari Diabetes Sedunia bukan sekadar hari kesedaran sahaja; malah ianya adalah peluang keemasan bagi kita sebagai satu komuniti untuk terus bersatu padu dan menyokong antara satu sama lain dalam memupuk kesejahteraan. Sejajar dengan tema tahun ini, Diabetes dan Kesejahteraan, kita perlulah berusaha keras ke arah mewujudkan persekitaran yang mengutamakan kesihatan, pendidikan dan sokongan untuk semua individu terutamanya yang menghidapi diabetes. Ayuh kita bertindak sekarang!

Dr. Hanifatiyah Ali
Pensyarah Kanan Perubatan & Pakar Perubatan Keluarga
Jabatan Perubatan Keluarga
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
Alamat Emel: fatiyah@upm.edu.my
Tarikh Input: 14/11/2024 | Kemaskini: 14/11/2024 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506