HARI HOSPIS DAN PENJAGAAN PALIATIF SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI HOSPIS DAN PENJAGAAN PALIATIF SEDUNIA 2025

HARI HOSPIS DAN PENJAGAAN PALIATIF SEDUNIA 2025

 

Penjagaan paliatif ialah pendekatan yang meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidapi penyakit mengancam nyawa melalui pencegahan dan kelegaan penderitaan dari sudut fizikal, psikososial, dan spiritual. Perubatan paliatif ialah kepakaran perubatan yang menyediakan rawatan klinikal yang sesuai untuk pesakit dengan penyakit progresif.

Penjagaan paliatif bermula pada saat diagnosis, berjalan seiring rawatan penyakit, dan menyokong keluarga sepanjang fasa berkabung. Kejayaannya bergantung pada penetapan matlamat rawatan yang jelas, komunikasi yang berkesan, dan kerja berpasukan.

Sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Worldwide Hospice and Palliative Care Alliance, tema tahun ini ialah ‘Achieving the Promise: Universal Access to Palliative Care’. Mesej ini tepat pada masanya kerana anggaran global menunjukkan kira-kira 60 juta orang dewasa dan kanak-kanak memerlukan penjagaan paliatif setiap tahun, dengan keperluan tertinggi di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Pada tahun 2014, Negara Anggota menerima pakai resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia untuk memperkukuh penjagaan paliatif sepanjang kitaran hayat, dengan penekanan pada penjagaan primer, komuniti, dan perkhidmatan berasaskan rumah. Seruan ini berada dalam agenda liputan kesihatan sejagat yang memberi tumpuan kepada akses dan perlindungan kewangan.

Keperluan penjagaan paliatif di Malaysia meningkat seiring penuaan penduduk dan beban penyakit tidak berjangkit yang menyebabkan kesakitan dan tekanan psikososial yang ketara. Tiga cabaran utama ialah akses, integrasi, dan pembiayaan:

  1. Akses - Ramai rakyat masih menderita dalam diam akibat kesedaran yang rendah dan akses yang tidak saksama. Perkhidmatan telah berkembang, namun jurang masih wujud, termasuk bilangan pakar perubatan paliatif dan unit khusus masih tidak mencukupi di hospital kerajaan, manakala hospis NGO menyediakan majoriti sokongan di rumah yang tertumpu di kawasan bandar.
  2. Integrasi - Malaysia memperkenalkan Dasar dan Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan 2019–2030 bagi menyepadukan perkhidmatan dan menutup jurang yang wujud. Liputan penjagaan paliatif masih tidak seimbang, khususnya di kawasan luar bandar. Pelan ini menggariskan hala tuju ke arah penjagaan yang saksama, berkesan, dan mampan, sejajar dengan prinsip Liputan Kesihatan Sejagat. Tumpuan utama meliputi pengiktirafan penjagaan paliatif dalam UHC, pengesanan pesakit yang memerlukan, peluasan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pembentukan rangkaian kesinambungan, pengukuhan pendidikan, pemerkasaan komuniti, dan penetapan piawaian kualiti.
  3. Pembiayaan - Pelaksanaan penjagaan paliatif yang holistik memerlukan pelaburan dan kerjasama yang baik dengan pemegang taruh. Pembiayaan khusus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih terhad, manakala hospis NGO bergantung pada sokongan komuniti. Pendekatan pembiayaan bersama melalui kerjasama awam-swasta, penglibatan aktif komuniti, dan penubuhan yayasan nasional dicadangkan untuk memastikan peningkatan skala yang lebih lestari. Akses kepada ubat penting, khususnya morfin oral perlu lebih konsisten di semua fasiliti, disertai protokol yang jelas bagi penggunaan di komuniti pada fasa akhir hayat.

 

Sempena Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia 2025, Malaysia’s National Standards for Palliative Care telah dilancarkan untuk memastikan penjagaan yang berkualiti, holistik, dan penyayang kepada pesakit dan keluarga di seluruh negara. Pencapaian ini memacu agenda kualiti pelan kebangsaan dan menyokong akses sejagat.

Bagi mencapai matlamat penjagaan paliatif ini, satu tindakan segera diperlukan daripada semua pihak. Penjagaan paliatif memerlukan integrasi dalam kurikulum kesihatan, perluasan penyelidikan dan kerjasama komuniti, akses kepada ubat penting, dan pengukuhan pembiayaan. Dengan ini, penjagaan paliatif dapat menjadi teras liputan kesihatan sejagat dan perkhidmatan asas untuk semua masyarakat.

Dr. Fatimah Ahmad Fauzi
Pensyarah Perubatan, Bidang kepakaran: Kesihatan Awam
Jabatan Kesihatan Komuniti
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
fatimah_fauzi@upm.edu.my

Tarikh Input: 10/10/2025 | Kemaskini: 10/10/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (04:07:47am-04:12:47am, 13 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]