HARI JURURAWAT ANTARABANGSA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI JURURAWAT ANTARABANGSA 2025

HARI JURURAWAT ANTARABANGSA 2025

PROFESION KEJURURAWATAN: PENGGERAK KESEJAHTERAAN DAN EKONOMI NEGARA

Setiap tahun pada 12 Mei, dunia menyambut Hari Jururawat Sedunia bagi menghargai jasa dan pengorbanan jururawat di seluruh dunia. Bagi tahun 2025, tema yang dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah “Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies” yang membawa satu mesej besar iaitu jururawat bukan sekadar pemberi jagarawatan, malah merupakan pemacu masa depan ekonomi yang lebih lestari.

Profesion kejururawatan telah memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyelamatkan nyawa, tetapi juga dalam menyokong kestabilan dan kemajuan ekonomi negara. Dalam era yang penuh cabaran ini, profesion kejururawatan tidak lagi terbatas kepada peranan tradisional dalam penjagaan kesihatan semata-mata. Jururawat kini berada di barisan hadapan bukan sahaja dalam memperkukuh sistem kesihatan awam, tetapi juga sebagai agen perubahan dalam membentuk struktur ekonomi dan sosial yang lebih adil serta mampan. Dengan kepakaran, kepimpinan, dan inovasi yang dimiliki, jururawat berpotensi besar untuk memacu pembangunan negara melalui sumbangan yang signifikan dalam dasar kesihatan, pendidikan komuniti, keusahawanan sosial, serta pengukuhan jaringan penjagaan primer. 

Jururawat memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, bukan sahaja dalam aspek penjagaan kesihatan, tetapi juga melalui penyertaan aktif dalam merangka dan melaksanakan dasar kesihatan awam. Di Malaysia, jururawat kini semakin diberi ruang dalam pembuatan dasar, khususnya melalui penglibatan dalam program-program kesihatan komuniti seperti Program Imunisasi Kebangsaan dan Skim Penjagaan Kesihatan Komuniti (SCOPE). Ini menunjukkan bahawa jururawat bukan sekadar pelaksana, tetapi juga pemikir strategik dalam memastikan dasar kesihatan mencapai kumpulan sasar dengan lebih berkesan. 

Melalui pendidikan komuniti, jururawat sering menjadi individu pertama yang mendekati masyarakat dalam menyampaikan maklumat kesihatan. Contohnya, dalam program KOSPEN (Komuniti Sihat Pembina Negara), jururawat melatih sukarelawan komuniti untuk menggalakkan gaya hidup sihat, menjalankan saringan tekanan darah dan gula, serta memberi ceramah kesihatan di surau, sekolah dan dewan orang ramai. Melalui program ini jururawat melatih sukarelawan untuk menjalankan saringan kesihatan dan memberi pendidikan tentang gaya hidup sihat. Apabila penjagaan kesihatan diberikan pada peringkat awal, ia dapat mengurangkan beban rawatan di hospital-hospital besar. Jururawat yang memantau pesakit kronik secara berkala di klinik kesihatan mampu mengesan komplikasi awal dan mencegah kemasukan ke hospital. Ini secara langsung menjimatkan kos rawatan hospital yang jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa perbelanjaan kesihatan semasa negara kini mencecah sekitar 4.0% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jika intervensi di peringkat primer dilakukan secara efektif, peratusan ini dapat dikawal daripada terus meningkat. 

Di samping itu, penjagaan primer yang berkesan juga memberi kesan positif kepada produktiviti negara. Rakyat yang mendapat rawatan awal tidak perlu bercuti panjang atau berhenti kerja akibat komplikasi penyakit. Ini mengurangkan kehilangan hari bekerja dan memastikan tenaga kerja terus menyumbang kepada ekonomi. Data menunjukkan bahawa perbelanjaan kesihatan per kapita meningkat dari RM1,237 pada tahun 2011 kepada RM2,521 pada tahun 2023, mencerminkan pelaburan yang semakin besar dalam kesihatan rakyat. Ianya satu pelaburan yang hanya berbaloi jika penjagaan awal dimanfaatkan sepenuhnya. Tambahan pula, dalam menghadapi isu penuaan populasi, penjagaan primer oleh jururawat menjadi lebih relevan. Menjelang tahun 2040, kos penjagaan kesihatan warga emas di Malaysia dijangka mencecah RM21 bilion, bersamaan kira-kira 1.08% daripada KDNK. Jururawat yang memberi pendidikan kesihatan dan pemantauan berkala di rumah atau klinik mampu membantu mengurangkan beban kewangan ini. 

Manakala dalam aspek keusahawanan sosial, semakin ramai jururawat mengambil inisiatif menubuhkan perkhidmatan penjagaan di rumah, pusat pemulihan atau terapi kanak-kanak khas. Contohnya, jururawat yang menjalankan khidmat rawatan luka atau fisioterapi bergerak bukan sahaja menjana pendapatan sendiri, tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada pembantu kesihatan dan terapi. Ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, terutamanya dalam mencipta peluang pekerjaan, malah menyumbang kepada perkembangan industri kecil dan sederhana (IKS). 

Dalam konteks global, pelancongan kesihatan di Malaysia juga menyumbang kepada pendapatan negara melalui remitan dari pelancong asing, serta penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan dan hospitaliti. Statistik menunjukkan bahawa Malaysia menerima lebih daripada 1 juta pelancong perubatan setiap tahun, dengan sektor ini menyumbang lebih daripada RM1.3 bilion kepada ekonomi negara, dan ia dijangka terus berkembang. Melalui kemahiran komunikasi yang baik, kecekapan dalam prosedur penjagaan, dan sikap mesra jururawat ianya dapat membantu memberikan pengalaman yang positif kepada pesakit asing. Dengan pengalaman penjagaan yang memuaskan, pelancong perubatan lebih cenderung memilih Malaysia sebagai destinasi rawatan, menjadikan negara ini pilihan utama bagi mereka yang mencari rawatan perubatan yang berkualiti. 

Kesimpulannya, jururawat Malaysia memainkan peranan penting dalam memacu sektor kesihatan negara, baik dalam konteks penjagaan primer mahupun pelancongan kesihatan. Dengan kecekapan dalam menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti, mereka bukan sahaja membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi negara melalui penjanaan peluang pekerjaan dan pendapatan dari sektor kesihatan. Peranan mereka dalam membina kepercayaan antarabangsa terhadap sistem kesihatan Malaysia, khususnya dalam pelancongan kesihatan, turut memperkukuhkan imej negara sebagai destinasi rawatan utama di peringkat global. Pelaburan dalam jururawat sebagai penggerak utama sektor ini adalah langkah bijak untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara. 

Maka, sempena Hari Jururawat Sedunia ini, marilah kita melihat profesion kejururawatan bukan sahaja dari sudut kemanusiaan, tetapi juga dari sudut strategik ekonomi. Jururawat kita adalah pelaburan kepada masa depan yang lebih sihat, lebih seimbang, dan lebih berdaya tahan yang mana bersesuaian dengan tema yang dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia; “Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies”

Dr. Norafisyah Makhdzir

Pensyarah

Kepakaran - Jagaan Kritikal

Jabatan Kejururawatan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

norafisyah@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 08/05/2025 | Kemaskini: 03/07/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (02:41:01am-02:46:01am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]