HARI KANSER SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI KANSER SEDUNIA 2025

HARI KANSER SEDUNIA 2025

HARI KANSER SEDUNIA 2025

Kanser merupakan masalah utama kepada masyarakat, kesihatan awam, dan juga ekonomi sesebuah negara.  Ia bertanggungjawab terhadap hampir satu daripada enam kematian (16.8%) dan satu daripada empat kematian (22.8%) akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia. Penyakit ini menyebabkan tiga daripada sepuluh kematian pramatang global akibat NCD (30.3% di kalangan mereka yang berumur 30–69 tahun) dan merupakan salah satu daripada tiga penyebab utama kematian dalam kumpulan umur ini di 177 daripada 183 negara. Selain menjadi halangan utama untuk meningkatkan jangka hayat, kanser juga dikaitkan dengan kos sosial dan makroekonomi yang ketara. Variasi halangan ini dikategorikan mengikut jenis kanser, geografi, dan jantina. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023, kanser adalah punca keempat kematian utama di Malaysia yang didapati meningkat daripada 10.5 peratus pada tahun 2021 kepada 12.6 peratus pada tahun 2022. Persatuan Onkologi Malaysia mencatatkan peningkatan lebih daripada 50 peratus dalam bilangan pesakit dan kadar kematian akibat kanser dari tahun 2012 hingga 2022.

Secara dasarnya, perebakan kanser adalah disebabkan pertumbuhan sel kanser yang berterusan dan tidak terkawal. Sel normal dikawalselia oleh pelbagai isyarat serta tapak jalan yang akan yang mengawal tingkah laku sel. Sebaliknya, sel kanser tumbuh dan membahagi secara tidak terkawal, menyerang tisu dan organ normal, serta akhirnya merebak ke seluruh badan. Kehilangan kawalan pertumbuhan secara umum yang ditunjukkan oleh sel kanser adalah disebabkan perencatan dalam sistem pengawalan sel.

Kanser boleh terjadi akibat percambahan tidak normal daripada mana-mana jenis sel yang berbeza dalam badan. Ciri sel kanser ini menyebabkan terdapat lebih daripada seratus jenis kanser yang berbeza. Setiap jenis kanser akan mempunyai perbezaan yang ketara dalam tingkah laku dan tindak balas terhadap rawatan.

Isu yang paling penting dalam patologi kanser adalah perbezaan antara tumor benign (tidak berbahaya) dan malignan (berbahaya). Tumor benign, seperti ketuat kulit biasa, kekal terhad pada lokasi asalnya, tanpa menyerang tisu normal di sekitarnya atau merebak ke bahagian tubuh yang jauh. Walau bagaimanapun, tumor malignan mampu menyerang tisu normal di sekelilingnya dan merebak ke seluruh badan melalui sistem peredaran darah atau limfa (metastasis).

Di negara maju, kadar kematian akibat strok dan penyakit jantung koronari semakin berkurangan, manakala kanser menjadi satu-satunya penyakit utama yang menghalang jangka hayat. Disebabkan oleh pertumbuhan populasi dan penuaan, trend penurunan yang ketara bagi kanser berisiko tinggi utama masih belum dapat dilihat, dan beban penyakit ini meningkat dengan cepat di beberapa negara. Ini mencerminkan perubahan dari segi prevalens serta distribusi penyakit kanser dipengaruhi oleh perubahan dari segi pembangunan sosial dan ekonomi sesuatu kawasan.

Di Malaysia, pelbagai usaha telah ditekankan dalam Program Kawalan Kanser Kebangsaan untuk menangani krisis kesihatan ini, yang bertumpu kepada pencegahan, pengesanan awal, rawatan yang lebih baik, dan penjagaan paliatif. Pendekatan pencegahan adalah salah satu langkah kos efektif dan boleh diperkenalkan pada tahap individu. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara 30 hingga 50% kanser pada masa ini boleh dicegah dengan mengelakkan faktor risiko dan melaksanakan strategi pencegahan berasaskan bukti yang sedia ada.

Untuk memastikan pendekatan pencegahan berjaya, faktor risiko yang berpotensi menyumbang kepada kejadian kanser perlu dikenal pasti. Penyebab kanser boleh bersifat multifaktorial. Beberapa faktor risiko boleh dielakkan dengan mengubah gaya hidup dan mengurangkan pendedahan sebagai contoh penggunaan tembakau, pengambilan alkohol, berat badan berlebihan, dan kurang aktiviti fizikal telah dilaporkan sebagai faktor risiko utama kanser di seluruh dunia. Faktor-faktor ini juga merupakan faktor risiko bersama NCD yang lain.

Terdapat peningkatan ketara dalam jumlah kes kanser baharu yang didiagnosis di Malaysia, terutamanya melibatkan kanser payudara, kolorektal, dan paru-paru antara tahun 2012 hingga 2016. Kadar insiden kanser yang dilaporkan bagi tempoh 2012–2016 adalah 86 kes bagi setiap 100,000 lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 wanita, yang mewakili peningkatan sebanyak 11% berbanding laporan 2007–2011. Ini mungkin berpunca daripada kesedaran kanser yang rendah, kekurangan saringan, kelewatan mendapatkan perhatian perubatan, kelewatan dalam pengesanan dan diagnosis, serta akses yang tidak mencukupi kepada rawatan kanser berkualiti tinggi. Walaupun terdapat peningkatan dalam insiden kanser, terdapat hanya lebih daripada 150 pakar onkologi di Malaysia, iaitu sekitar 50% daripada keperluan untuk memenuhi perkhidmatan onkologi negara.

Malaysia merupakan salah satu tapak percubaan klinikal yang sedang berkembang, hasil daripada pelbagai usaha kerajaan seperti penubuhan Clinical Research Malaysia (CRM) dan inisiatif Phase 1 Realization Project (P1RP), sebuah inisiatif untuk menggalakkan pembangunan awal ubat di Malaysia. Pada tahun 2021, sejumlah 215 percubaan klinikal telah dimulakan di fasiliti KKM, dengan percubaan onkologi merangkumi kira-kira 15.3% daripada jumlah tersebut.

Kerjasama erat antara pusat penyelidikan akademik dan penyedia perkhidmatan kanser, rangkaian yang cekap dengan rakan serantau dan industri, serta komitmen kuat dan pelaburan berterusan daripada kerajaan Malaysia adalah penting untuk membina ekosistem yang mampan dan kondusif bagi penyelidikan onkologi di negara ini. Pembinaan  ekosistem penyelidikan klinikal yang kukuh bergantung kepada pemahaman tentang biologi kanser dan penerapan terapi eksperimental dengan matlamat utama untuk menyediakan rawatan kanser berkualiti tinggi kepada pesakit.

Dr. Sandra Maniam

Pensyarah Kanan

Jabatan Anatomi Manusia

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 03/02/2025 | Kemaskini: 03/02/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
S, (02:18:51am-02:23:51am, 06 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]