HARI KANSER SEDUNIA 2026 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI KANSER SEDUNIA 2026

HARI KANSER SEDUNIA 2026

Metastasis: Punca Utama Kematian Pesakit Kanser

Sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap tahun pada 4 Februari dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, wajarlah kita berhenti sejenak untuk menilai semula kefahaman masyarakat terhadap kanser, khususnya punca sebenar yang menyebabkan penyakit ini terus mencatatkan kadar kematian yang tinggi di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Dalam banyak perbincangan awam, kanser sering digambarkan sebagai penyakit yang membawa maut semata-mata kerana kewujudan ketumbuhan di organ tertentu seperti payudara, paru-paru atau kolon. Dianggarkan lebih 90% kematian akibat kanser bukan berpunca daripada tumor asal, tetapi daripada satu proses berbahaya yang dikenali sebagai metastasis, iaitu penyebaran sel kanser ke organ lain.

Tumor primer lazimnya masih boleh dirawat atau dikawal, terutamanya jika dikesan pada peringkat awal. Pembedahan, radioterapi atau rawatan sistemik sering memberikan hasil yang baik pada peringkat ini. Namun, apabila sel kanser mengalami perubahan biologi yang membolehkannya bergerak dari tempat asal dan merebak ke organ lain seperti hati, paru-paru, tulang dan otak. Apabila ini berlaku, kanser menjadi jauh lebih agresif dan kompleks untuk dirawat.

Di dalam kebanyakan kes, pesakit sebenarnya tidak meninggal dunia kerana ketumbuhan di tempat asal, tetapi akibat kegagalan fungsi organ yang diserang oleh sel kanser yang telah merebak. Kerosakan hati, kegagalan pernafasan atau komplikasi neurologi sering menjadi punca akhir yang meragut nyawa. Namun begitu, aspek metastasis ini masih kurang diberi penekanan dalam perbincangan awam. Tumpuan masyarakat masih tertumpu kepada saiz tumor, sedangkan tingkah laku sel kanser adalah penentu utama prognosis pesakit.

Sel kanser memerlukan tempoh tertentu untuk berubah daripada bersifat setempat kepada berkeupayaan merebak. Tempoh inilah yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya melalui pengesanan awal dan intervensi bersasar. Atas sebab inilah, strategi menangani kanser tidak boleh lagi bersifat reaktif, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pencegahan penyebaran sel kanser sejak awal diagnosis.

Salah satu langkah penting yang wajar diperkukuh ialah program saringan kanser secara berkala, khususnya bermula seawal usia 40 tahun yang merupakan kategori usia berisiko tinggi mendapat kanser walaupun individu tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom (bergantung kepada jenis kanser dan faktor risiko individu). Saringan awal bukan sahaja meningkatkan peluang pengesanan kanser pada peringkat primer, malah dapat menilai risiko metastasis lebih awal. Kelewatan diagnosis bukan sahaja mengurangkan peluang rawatan berkesan, tetapi turut membawa implikasi kewangan yang besar kepada pesakit dan keluarga.

Rawatan kanser metastatik lazimnya jauh lebih mahal berbanding rawatan kanser primer. Kos ubat-ubatan, rawatan susulan jangka panjang, kehilangan produktiviti dan tekanan emosi boleh menjerumuskan keluarga ke dalam beban kewangan yang serius. Justeru, pelaburan dalam saringan awal sebenarnya jauh lebih menjimatkan dari sudut ekonomi kesihatan negara.

Selain itu, rawatan kanser juga perlu disesuaikan dengan biologi tumor, bukan sekadar lokasi asalnya. Setiap jenis kanser mempunyai kebolehan metastasis yang berbeza dan memerlukan pendekatan rawatan yang khusus. Dalam masa yang sama, penyelidikan tempatan perlu diperkukuh bagi memahami corak metastasis dalam kalangan rakyat Malaysia, mengambil kira faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup.

Pesakit dan keluarga juga perlu diberi kefahaman yang jelas tentang kepentingan rawatan berterusan dan pemantauan jangka panjang. Menghentikan rawatan terlalu awal atau mengabaikan rawatan susulan boleh membuka ruang kepada sel kanser untuk kembali aktif dan merebak tanpa disedari.

Saya berpendapat bahawa pengurangan kematian akibat kanser di Malaysia boleh dicapai jika kita memberi fokus kepada pengesanan awal, saringan berkala seawal usia 40 tahun dan pengawalan metastasis sebagai teras strategi kanser negara. Memahami bagaimana sel kanser merebak bukan sekadar isu saintifik, tetapi kunci utama untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa dan melindungi kesejahteraan ekonomi masyarakat.

Prof. Madya Dr. Nur Fariesha Md Hashim
Profesor Madya
Biologi Kanser
Jabatan Sains Bioperubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
016-2873872
nurfariesha@upm.edu.my

Tarikh Input: 04/02/2026 | Kemaskini: 04/02/2026 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (05:41:17pm-05:46:17pm, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]