HARI KESEDARAN SEL SABIT SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI KESEDARAN SEL SABIT SEDUNIA 2025

HARI KESEDARAN SEL SABIT SEDUNIA 2025

Tanggal 19 Jun telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Hari Kesedaran Sel Sabit Sedunia. Ianya disambut setiap tahun dengan matlamat untuk memberikan pendedahan and meningkatkan pengetahuan umum serta mempromosi kajian tentang penyakit sel sabit.

Setiap tahun, lebih 300,000 bayi dilahirkan dengan penyakit sel sabit di seluruh dunia dimana lebih daripada tiga perempat melibatkan penduduk di negara-negara Afrika sub-Sahara. Hampir 8 juta orang hidup dengan kondisi ini di seluruh dunia. Di Malaysia, walaupun ianya jarang berlaku, masyarakat India dan Melayu lebih berisiko.

Penyakit sel sabit adalah penyakit genetik sel darah merah yang menyebabkan perubahan daripada yang berbentuk bulat, cengkung ditengahnya serta lentur menjadi keras dan berbentuk sabit. Keadaan ini boleh menyumbat salur darah, menghalang bekalan oksigen dan menyebabkan pelbagai komplikasi serius termasuk kesakitan akut dan kronik, kerosakan organ malah kematian.

Apakah realiti kehidupan pesakit sel sabit dan keluarga? Kesakitan yang berterusan, tekanan emosi dan mental boleh menjejaskan kehidupan seharian. Kos rawatan serta kekerapan ke hospital untuk rawatan susulan juga boleh menyebabkan bebanan dan tekanan kepada ahli keluarga dari segi emosi dan kewangan dalam penjagaan khusus pesakit.

Walaupun belum ada penawar mutlak, rawatan semasa penyakit ini berfokus kepada mengawal gejala kesakitan, penambahan sel darah merah secara tranfusi serta ubatan lain seperti ’hydroxyurea’ yang berfungsi untuk menghasilkan sel darah merah yang normal bentuknya. Terapi gen yang masih diperingkat penyelidikan adalah salah satu rawatan yang berpotensi untuk menyembuhkan penyakit ini, oleh itu lebih banyak kajian diperlukan agar dapat memperbaiki jangka hayat serta kualiti hidup pesakit ini.

Bagaimana kita boleh membantu?

  • Kongsi kesedaran di media sosial
  • Derma kepada yayasan penyelidikan sel sabit
  • Derma darah - mereka amat memerlukannya!
  • Sokong dasar kesihatan yang lebih baik dan kemudahan akses kepada rawatan bagi mereka yang terlibat.

 

Oleh itu, sempena menyambut hari kesedaran sel sabit sedunia, kempen kesedaran penyakit ini boleh membuka lebih banyak inisiatif sokongan dan penyelidikan demi meningkatkan kualiti hidup serta sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik bagi pesakit sel sabit. Semoga setiap tindakan kecil ini membawa perubahan yang besar!

Dr. Razana Mohd Ali

Pensyarah Perubatan Kanan

Jabatan Patologi

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 19/06/2025 | Kemaskini: 19/06/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
F, (12:31:01pm-12:36:01pm, 09 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]