Hari Keselamatan Pesakit Sedunia | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Hari Keselamatan Pesakit Sedunia

Hari Keselamatan Pesakit Sedunia

Hari Keselamatan Pesakit Sedunia

Adalah amat penting untuk memastikan keselamatan pesakit apabila bius diberikan semasa pembedahan. Bius digunakan terutamanya untuk mencegah kesakitan semasa pembedahan dan prosedur yang lain. Terdapat kehilangan sensasi sama ada dengan kehilangan kesedaran ataupun tidak. Bius boleh diberi dengan penggunaan ubatan atau ubat bius yang boleh diberikan terutamanya melalui suntikan, penyedutan atau semburan topikal. Terdapat dua cara utama bius iaitu bius am dan bius sebahagian. Bius am adalah kehilangan kesedaran secara sementara manakala bius sebahagian adalah kehilangan penderiaan sakit pada sebahagian atau bahagian tubuh tertentu tanpa kehilangan kesedaran.

Penilaian yang terperinci sebelum pembedahan akan sentiasa dibuat untuk memeriksa status fungsi kesihatan pesakit. Ini adalah untuk memastikan jenis bius yang diberikan adalah selamat untuk pesakit dan adalah sesuai untuk presedur atau pembedahan yang dirancang. Kadang-kala, untuk kes yang lebih rumit, pesakit akan dirujuk oleh pakar bedah untuk diperiksa di klinik anestesia supaya penilaian yang lebih terperinci dan pembaikan keadaan kesihatan boleh dibuat dalam jangkamasa yang mencukupi. Ini akan membantu untuk memastikan keselamatan pesakit dan penambahbaikan kepada keputusan dan hasil perioperatif pesakit.

Satu lagi cara untuk memastikan keselamatan pesakit adalah dengan adanya sistem pantauan semasa pembedahan yang mencukupi. Ini termasuk pantauan tekanan darah tidak invasif (NIBP), pulse oximeter untuk ketepuan oksigen, elektrokardiographi (ECG) dan end-tidal carbon dioxide monitoring (ETCO2). Semasa apa jua bentuk bius, sistem pantauan wajib digunakan semasa keseluruhan pembedahan untuk mengesan dan membetulkan tanda vital pesakit yang tidak normal yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Pakar bius yang mahir dan berjaga-jaga semasa keseluruhan tempoh perioperatif adalah amat penting untuk memastikan keselamatan pesakit. Pakar bius akan memastikan keadaan pesakit diperbetulkan sebelum pembedahan, menjalankan pengurusan yang sesuai semasa pembedahan dan memberi rawatan kesakitan serta pengurusan unit rawatan rapi (ICU) dalam menangani kes yang lebih rumit selepas pembedahan.

Dalam pada kita memasuki alaf baru, terdapat kemajuan dari segi peralatan kesihatan dan ubat-ubatan. Kemajuan teknologi juga membantu meningkatkan tahap keselamatan pesakit. Peralatan baru bukan sahaja memberi penambahan keselamatan semasa prosedur pemberian bius  tetapi juga memberi ketepatan dan kemudahan serta pengurangan komplikasi seperti kegagalan prosedur ataupun kejadian luka pada saluran darah secara tidak sengaja yang menyebabkan kejadian hematoma/lebam. Ubatan baru juga memberi kelebihan dalam pengurangan kesan sampingan dan pengurangan kekerapan dos yang diperlukan. Ubatan tersebut juga mempunyai profil keselamatan yang lebih tinggi dengan pengurangan keperluan pengambilan darah untuk menentukan tahap ubat dalam plasma. Dalam masa yang terdekat, peningkatan kemajuan mungkin dapat dilihat dengan kemunculan kecerdasan buatan dan perubahan dinamik dalam internet of things (IoT).

Keselamatan bius juga termasuk rawatan kesakitan yang mencukupi semasa dan selepas pembedahan. Pelbagai teknik digunakan dalam pengurusan kesakitan perioperatif iaitu termasuk analgesik neuraxial opioid menggunakan intrathecal morphine, patient control analgesia (PCA) dengan opioid sistemik dan teknik analgesik sebahagian seperti plexus blocks untuk tangan dan kaki serta infiltrasi bius setempat di tempat hirisan pembedahan.

Akhir sekali, pendekatan pasukan pelbagai disiplin kadang-kala diperlukan untuk memastikan keselamatan pesakit dalam sesetengah kes yang lebih rumit. Pesakit yang memerlukan pendekatan pasukan pelbagai disiplin termasuk mereka yang mempunyai pelbagai penyakit komorbiditi dan untuk pembedahan atau prosedur yang memerlukan pasukan pembedahan yang berlainan. Pesakit sebegini perlu dirujuk dengan awal untuk dibuat penilaian di klinik anestesia dan juga supaya pembaikan kesihatan secara mencukupi dapat dilakukan sebelum pembedahan.

Pendek kata, keselamatan pesakit semasa bius memerlukan pendekatan holistik yang merangkumi kerja berpasukan antara pakar bius dan pakar bedah dalam segala aspek penjagaan pesakit.

Dr. Felicia Su-Min Hu

Pensyarah (Perubatan)

Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 17/09/2024 | Kemaskini: 18/09/2024 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (05:47:59am-05:52:59am, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]