HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2025

HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2025

Pada setiap 10hb Oktober, Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan seharian kita. Dengan kesihatan mental yang optima, kita akan dapat menangani stres yang dihadapi, menyedari tentang kemampuan kita, bekerja atau belajar secara berkesan, dan turut menyumbang kepada komuniti kita.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey – NHMS) 2023, terdapat 4.6% (1 juta orang) penduduk Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas telah mengalami kemurungan, dan bilangan ini telah meningkat sebanyak 2 kali ganda dari tahun 2019 ke 2023. Hampir separuh daripada orang yang ditinjau pernah berfikir lebih baik untuk mati atau mencederakan diri. 1 daripada 6 kanak-kanak di Malaysia juga mengalami masalah kesihatan mental. Statistik sebegini adalah amat membimbangkan. Oleh itu, kita perlu memandang serius terhadap masalah kesihatan mental di negara kita.

Pada tahun ini, World Federation for Mental Health (WFMH) telah menetapkan tema Hari Kesihatan Sedunia sebagai “Akses kepada Perkhidmatan – Kesihatan Mental dalam Bencana dan Kecemasan” (“Access to Services – Mental Health in Catastrophes and Emergencies”). Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran hutan, tsunami dan gempa bumi boleh melanda dan memberi kesan kepada ramai. Pandemik COVID-19 yang kita alami beberapa tahun yang lalu juga merupakan satu kecemasan yang telah mencabar kehidupan setiap orang di dunia ini. Selain itu, peperangan yang tercetus di beberapa negara turut meningkatkan beban di kalangan orang yang terbabit di kawasan-kawasan tersebut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation – WHO), hampir semua orang yang terlibat dalam kecemasan-kecemasan tersebut mengalami tekanan psikologi, seperti perasaan sedih, resah, marah, masalah tidur, letih lesu atau sakit badan. Biasanya, gejala-gejala ini akan bertambah baik atau hilang dengan masa. Namun, 1 daripada 5 orang yang terjejas akan mengalami masalah kesihatan mental seperti penyakit kemurungan, keresahan, kecelaruan tekanan pasca trauma (Post-traumatic stress disorder – PTSD), dan sebagainya. Bencana dan kecemasan boleh mengurangkan akses orang ramai kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, memudaratkan lagi masalah sosial seperti kemiskinan dan diskriminasi.

Di Malaysia, kejadian bencana seperti banjir dan tanah runtuh sering mengganggu kehidupan rakyat kita dan merosakkan harta benda dan infrastruktur yang sedia ada. Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (Mental Health and Psychosocial Support Services – MHPSS) telah disediakan di peringkat daerah dan kawasan setempat, dan sering diaktifkan semasa bencana dan kecemasan untuk memberi sokongan dan bantuan kesihatan mental asas kepada penduduk yang terjejas. Pasukan MHPSS biasanya terdiri daripada doktor pakar psikiatri, doktor pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, staf paramedik, kaunselor, dan pakar psikologi klinikal. Dengan usaha MHPSS, kejadian penyakit mental akibat daripada bencana dan kecemasan dapat dikurangkan atau dielakkan, dan orang yang memerlukan perkhidmatan kesihatan mental akan dapat akses perkhidmatan pada masa yang tersingkat.

Pada peringkat individu, tip berikut dapat memupuk budaya kehidupan yang sihat dan membantu dalam kesihatan mental:

  1. Sentiasa bersenam dan melakukan aktiviti fizikal. Gaya hidup yang aktif dan senaman bukan sahaja membantu dalam kesihatan fizikal, namun boleh meningkatkan kesihatan mental kita.
  2. Makanan yang seimbang dan berkhasiat. Merancang diet dengan panduan Pinggan Sihat Malaysia yang menggalakkan konsep “Suku-Suku-Separuh”: ¼ diet terdiri daripada sumber karbohidrat, ¼ daripada sumber protein dan ½ daripada sayur-sayuran dan buah-buahan.
  3. Mendapatkan tidur dan masa untuk berehat yang mencukupi.
  4. Elak daripada tabiat merokok, penggunaan alkohol, dan dadah.
  5. Mengamalkan strategi daya tindak (coping mechanism) yang sihat, seperti melakukan aktiviti hobi – mendengar lagu, melukis, membaca, dan sebagainya.
  6. Sentiasa berhubung dengan keluarga dan kawan.
  7. Memahami dan mengenalpasti gejala-gejala atau tanda-tanda masalah kesihatan, dan mendapatkan bantuan profesional seperti doktor, kaunselor, dan pakar psikologi klinikal pada peringkat yang awal.

 

Dengan usaha dan kerjasama pelbagai pihak dan individu, kita akan dapat menghasilkan masyarakat yang sihat, menghapus stigma terhadap kesihatan mental, dan mengatasi cabaran bencana dan kecemasan secara berkesan. Kita perlu ingat bahawa “Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Mental!”

Dr. Soh Shean Yih
Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatri
Jabatan Psikiatri
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
soh.sheanyih@upm.edu.my

Tarikh Input: 10/10/2025 | Kemaskini: 10/10/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
Z, (01:48:13am-01:53:13am, 02 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]