
HARI KUSTA SEDUNIA 2025
Hari Kusta Sedunia disambut pada setiap hari Ahad terakhir bulan Januari dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kusta serta perjuangan melawan stigma masyarakat terhadap penyakit ini.
Pada tahun ini, Hari Kusta Sedunia disambut pada 26 Januari dengan bertemakan, “Bersatu. Bertindak. Hapuskan”. Tema ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit kusta, memahami cabaran yang dihadapi oleh pesakit kusta dan menggalakkan kerjasama semua pihak untuk menghapuskan penyakit ini.
Kusta, juga dikenali sebagai Leprosy atau penyakit Hansen adalah berpunca daripada bakteria Mycobacterium leprae yang mula dikesan pada tahun 1873. Sehingga kini, penyakit ini kekal menjadi isu kesihatan awam.
Sebanyak 200,000 kes baharu penyakit kusta telah dilaporkan setiap tahun di peringkat global. Jumlah kes kusta di Malaysia menunjukkan trend turun naik, dengan penurunan dari 181 kes pada tahun 2020 kepada 142 kes pada tahun 2021. Ini diikuti dengan peningkatan kes kepada 256 pada tahun 2023 berbanding 183 kes tahun sebelumnya berikutan usaha pengesanan yang lebih aktif. Pada tahun 2024, sebanyak 66 kes baharu dilaporkan sehingga bulan Mei.
Penyakit kusta boleh merebak melalui kontak yang berpanjangan dengan pesakit yang belum dirawat. Jangkitan boleh berlaku menerusi cecair dari pernafasan sama ada ketika batuk atau bersin. Sentuhan biasa seperti berjabat tangan tidak akan menyebabkan jangkitan.
Penyakit kusta menyerang saraf kaki dan tangan, kulit, serta organ lain seperti mata dan hidung. Pesakit akan mengalami simtom seperti rasa kebas di bahagian yang terjejas serta lemah otot dan tompokan yang biasanya berwarna putih pada kulit.
Melalui rawatan yang komprehensif termasuk pemberian kombinasi beberapa jenis antibiotik (multidrug therapy), pesakit kusta boleh pulih sepenuhnya. Namun, stigma masyarakat sering menyebabkan pesakit kusta merasa terpinggir seterusnya menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan.
Bagi mengatasi stigma terhadap pesakit kusta dan memastikan akses rawatan yang adil dan segera, kempen pendidikan awam serta penglibatan komuniti adalah penting. Ini boleh dilakukan melalui pelbagai advokasi yang mudah difahami, konsisten serta bersifat inklusif merangkumi daerah pedalaman dan juga kawasan endemik.
Selain itu, sokongan psikososial dan perkongsian kisah kejayaan pesakit boleh membantu memupuk penerimaan dan mengurangkan salah tanggapan tentang penyakit ini. Kaedah pencegahan penyakit kusta pula termasuklah pengesanan awal, rawatan segera serta saringan ke atas individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit.
Sempena Hari Kusta Sedunia 2025, marilah kita bersatu tenaga dalam membanteras penyakit kusta, menghapuskan stigma serta mewujudkan persekitaran yang inklusif serta menyokong individu yang terkesan. Melalui komitmen yang konsisten, kita mampu merealisasikan matlamat sifar kes kusta menjelang 2030, sekaligus memperkukuh kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Dr. Azmiza Syawani Jasni
Pensyarah Kanan
Jabatan Mikrobiologi Perubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 24/01/2025 | Kemaskini: 24/01/2025 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506