
Meraikan Hari Makanan Sedunia: Memperkasakan Nutrisi untuk Masa Depan yang Lebih
Sihat
Hari Makanan Sedunia disambut setiap tahun pada 16 Oktober untuk menghargai peranan penting makanan dan pemakanan dalam kehidupan kita. Pemakanan adalah asas kesihatan kita, dan ia bukan sahaja sekadar pengambilan makanan semata-mata. Pemakanan memainkan peranan penting untuk menyokong kesihatan kita, dari segi fizikal dan mental. Memandangkan Malaysia diunjurkan mempunyai penduduk yang semakin tua, pemahaman mengenai kepentingan diet dan pemakanan yang seimbang, dan membuat pilihan yang bijak, boleh mencegah perkembangan penyakit kronik dan meningkatkan kualiti hidup, serta membuka jalan ke arah yang lebih sihat dan cerah di masa hadapan.
Pemakanan yang seimbang merangkumi pelbagai jenis makanan, dan Piramid Makanan Malaysia 2020 mengesyorkan penggabungan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, protein dan lemak sihat ke dalam makanan harian kita untuk memastikan kita menerima semua nutrien penting seperti vitamin, mineral, serat, dan antioksidan, yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan. Air adalah penting untuk hampir setiap fungsi badan; oleh itu kita harus menyasarkan untuk meminum air kosong yang banyak dan bukan air bergula sepanjang hari. Selain itu, memberi perhatian kepada saiz bahagian seperti yang disyorkan oleh Pinggan Sihat Malaysia boleh membantu dalam menguruskan pengambilan kalori dan mencegah pengambilan makanan berlebihan. Memandangkan makanan dan minuman yang diproses dan bergula boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, memilih makanan utuh dan tidak diproses sebolehnya dan memilih buah-buahan segar, sayur-sayuran dan bijirin penuh adalah titik permulaan yang baik untuk mengekalkan gaya hidup sihat.
Untuk memastikan semua orang mempunyai akses kepada makanan yang selamat dan berkhasiat, sistem sokongan makanan diperlukan kerana akses kepada diet yang sihat dan seimbang bukan sahaja bergantung pada pilihan individu. Sistem ini mesti meneroka perkaitan rumit antara pemakanan, keselamatan makanan dan sekuriti makanan untuk memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan komoniti. Dengan memastikan aktiviti pertanian yang mampan dan mengurangkan sisa makanan, kita boleh menyumbang kepada komuniti yang lebih sihat dan memastikan generasi akan datang dapat menikmati faedahnya. Pendekatan ini sememangnya selaras dengan seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), terutamanya, SDG2 (Zero Hunger), SDG3 (Good Health and Well-Being) dan SDG12 (Responsible Consumption and Production) untuk membantu memerangi kelaparan, mengurangkan kekurangan zat makanan, dan menggalakkan komuniti yang lebih sihat. Oleh itu, di dalam menyambut Hari Makanan Sedunia, marilah kita menjadikan pemakanan sebagai keutamaan dalam kehidupan kita. Impak yang besar bermula dari langkah yang kecil.

Dr. Mohd Redzwan Sabran
Pensyarah Kanan
Jabatan Pemakanan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 16/10/2024 | Kemaskini: 29/10/2024 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506