HARI MALARIA SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI MALARIA SEDUNIA 2025

HARI MALARIA SEDUNIA 2025

“Malaria berakhir dengan kita: Labur Semula, Bayangkan Semula, Nyalakan Semula."

Malaria merupakan penyakit parasit yang mengancam nyawa. Hampir separuh daripada populasi dunia berisiko dijangkiti malaria dan sebanyak lapan puluh tiga buah negara telah dikategorikan sebagai endemik pada tahun 2023. Insiden global malaria mencatatkan sejumlah 236 juta kes pada tahun 2023, dan kematian akibat malaria dianggarkan sebanyak 597,000. Jangkitan malaria tersebar luas di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia, dan negara-negara Afrika terus menjadi kawasan utama yang menanggung beban penyakit ini. Rantau tersebut dianggarkan menyumbang kepada 94% daripada kes malaria di seluruh dunia. Malaria juga dikaitkan dengan negara-negara miskin, dan beban jangkitan yang meluas telah memburukkan lagi kemiskinan rakyat, mengurangkan produktiviti mereka serta melemahkan ekonomi negara yang terjejas.

Malaysia telah memasuki fasa penghapusan malaria sejak tahun 2011. Walau bagaimanapun, kemunculan malaria zoonotik akibat jangkitan Plasmodium knowlesi di Sabah dan Sarawak agak membimbangkan. Zoonotik malaria ini telah menjadi isu kesihatan awam yang penting, terutamanya dalam kalangan masyarakat Orang Asal di kawasan pedalaman dan kurang membangun. Sejumlah 3,290 kes malaria knowlesi telah dilaporkan di seluruh dunia pada tahun 2023 dan Malaysia merupakan penyumbang utama, iaitu sebanyak 87% daripada jumlah tersebut. Empat belas kematian akibat malaria telah direkodkan di Malaysia pada tahun 2023, dan kesemuanya berpunca daripada P. knowlesi. Kes malaria import dalam kalangan pendatang, pelancong dan pekerja asing dari negara endemik telah menyumbang kepada kes sporadik dan meningkatkan ancaman kemunculan semula penyakit ini. Trend peningkatan kes malaria import berpotensi menjadi ancaman kesihatan yang akan dihadapi Malaysia pada masa hadapan.

Jangkitan malaria dalam manusia disebabkan oleh parasit protozoa yang dikenali sebagai Plasmodium. Terdapat lima spesies Plasmodium yang menjangkiti manusia, iaitu Plasmodium falciparum (P. falciparum)P. vivaxP. ovaleP. malariae dan P. knowlesi. Malaria vivax adalah yang paling lazim di seluruh dunia, manakala falciparum menyebabkan bentuk malaria yang paling teruk dan membawa maut. P. knowlesi ialah parasit zoonotik yang pada asalnya menjangkiti monyet. Nyamuk betina Anopheles ialah vektor bagi penularan malaria. Parasit ini merebak apabila nyamuk yang dijangkiti menggigit manusia, lalu menyuntik parasit ke dalam aliran darah di mana ia membiak. Parasit malaria menghabiskan separuh daripada kitaran hidupnya di dalam nyamuk dan separuh lagi di dalam tubuh manusia.

Jangkitan malaria menyebabkan gejala daripada ringan hingga teruk seperti demam, keletihan, sakit otot, muntah dan sakit kepala. Dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan jaundis, anemia dan sawan. Dalam kes malaria falciparum, kelewatan rawatan boleh mengakibatkan kegagalan organ, koma dan kematian. Gejala malaria biasanya muncul sekitar 10–15 hari selepas gigitan nyamuk. Malaria ialah penyakit yang boleh dirawat dan ubat antimalaria biasanya boleh menyembuhkan jangkitan, namun rawatan mesti dimulakan secepat mungkin. Terapi kombinasi berasaskan artemisinin (ACTs) kini dianggap sebagai rawatan utama bagi malaria. Ubat antimalaria lain termasuk klorokuin, primakuin, halofantrin, meflokuin, doksisiklin, proguanil dan sebagainya. Banyak parasit malaria telah membina kerintangan terhadap ubat antimalaria, menjadikan usaha memerangi penyakit ini semakin mencabar.

Pencegahan malaria boleh dimulakan melalui vaksinasi. Walaupun vaksin malaria belum tersedia secara meluas, setakat 2023 dua vaksin, iaitu RTS,S dan R21, telah diluluskan dan kini disarankan untuk digunakan dalam kalangan kanak-kanak di kawasan berisiko tinggi. Langkah pencegahan lain termasuk mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk dan mengawal populasi nyamuk. Pakaian pelindung, kelambu dan penghalau serangga boleh memberikan perlindungan semasa melancong ke kawasan endemik. Ubat pencegahan juga boleh diambil sebelum, semasa dan selepas perjalanan ke kawasan berisiko tinggi.

Walaupun malaria boleh dicegah dan dirawat, ia masih menjadi ancaman serius kepada berjuta-juta orang di kawasan endemik. Mencapai kawalan global dan penghapusan malaria sepenuhnya memerlukan usaha menyeluruh termasuk penambahbaikan infrastruktur kesihatan awam, meningkatkan akses kepada diagnosis dan rawatan, serta pelaburan dalam semua langkah pencegahan yang mungkin.

PROF. DR. RUSLIZA BASIR

Penyelidik/Saintis bidang Malaria

Profesor

Jabatan Anatomi Manusia

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 24/04/2025 | Kemaskini: 24/04/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (12:33:01am-12:38:01am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]