
HARI OTAK SEDUNIA: Kesihatan Otak Sepanjang Hayat
Sempena Hari Otak Sedunia yang disambut setiap 22 Julai setiap tahun, inilah masa yang sesuai untuk kita berhenti sejenak dan bertanya pada diri sendiri: sejauh mana kita benar-benar mengambil berat tentang kesihatan otak?
Tema tahun ini, “Kesihatan Otak Sepanjang Hayat”, membawa mesej yang jelas, dimana penjagaan otak bukan sesuatu yang wajar ditangguhkan sehingga usia emas. Ia adalah perjalanan sepanjang hayat yang sebenarnya bermula sejak sebelum kelahiran. Setiap fasa kehidupan dari rahim ibu, kanak-kanak, remaja, dewasa hingga ke usia emas. Ianya memainkan peranan penting dalam membentuk kesejahteraan kognitif seseorang.
Otak merupakan organ penting yang menjadi pusat kawalan tubuh. Ia mengawal semua sistem tubuh, daripada degupan jantung, keseimbangan hormon, hinggalah emosi, ingatan dan bagaimana kita bertindak balas terhadap persekitaran. Namun begitu, ramai yang masih kurang cakna akan tahap kesihatan otak, sehinggalah muncul tanda-tanda seperti mudah lupa, kemurungan atau gangguan emosi. Ketika itu, langkah pencegahan mungkin sudah agak terlewat.
Persekutuan Neurologi Dunia telah menetapkan lima matlamat utama bagi mendorong usaha global ke arah kesihatan otak yang lebih baik:
Tindakan lebih awal perlulah diambil, dengan sedikit kesedaran dan perubahan gaya hidup yang mudah, kita mampu melindungi otak dan meningkatkan kualiti hidup dalam jangka panjang. Langkah-langkah kecil tetapi konsisten mampu memberi impak besar. Amalan berikut sesuai untuk semua peringkat umur:
Dapatkan tidur yang mencukupi. Usahakan sekurang-kurangnya tujuh jam tidur berkualiti setiap malam bagi menyokong fungsi ingatan dan emosi.
Lakukan aktiviti fizikal ringan. Berjalan kaki selama 30 minit setiap hari mampu meningkatkan aliran darah ke otak dan mengekalkan kejelasan fikiran.
Lindungi kepala anda. Pakai tali pinggang keledar semasa memandu dan topi keledar semasa menunggang basikal atau motosikal.
Tangani tekanan sejak awal. Dapatkan bantuan profesional sekiranya anda berasa tertekan, cemas atau tidak bermaya.
Hadkan masa skrin, terutamanya sebelum tidur. Ini membantu otak berehat dan meningkatkan kualiti tidur.
Elakkan pengambilan kafein atau nikotin sekurang-kurangnya enam jam sebelum tidur.
Amalkan pemakanan bijak. Pilih makanan seperti sayuran hijau, kekacang, ikan, bijirin dan biji benih. Kurangkan gula dan makanan terproses yang boleh menjejaskan struktur otak.
Seimbangkan kerja dan kehidupan. Luangkan masa untuk berehat, berfikir secara kreatif dan berhubung dengan orang sekeliling bagi mengelakkan keletihan mental yang berpanjangan.
Bermula dari awal dan kekalkan kesedaran. Pendidikan tentang kesihatan otak sepatutnya bermula sejak kecil dan berterusan sepanjang hayat.
Wujudkan ruang mesra otak. Sama ada di rumah, sekolah atau tempat kerja, persekitaran yang menyokong fokus dan kesejahteraan mental amatlah penting.
Kesihatan otak bukan semata-mata soal perubatan. Ia berkait rapat dengan gaya hidup, persekitaran dan tahap kesedaran. Otak bukan sekadar mesin yang menjalankan fungsi, tetapi merupakan pusat memori, keperibadian dan masa depan kita. Penjagaan otak pada hari ini adalah pelaburan untuk hari esok yang lebih sihat dan bermakna.

Dr. Siti Saleha Masrudin
Pensyarah Kanan
Jabatan Anatomi Manusia
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 22/07/2025 | Kemaskini: 22/07/2025 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506