HARI PENDUDUK SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI PENDUDUK SEDUNIA 2025

HARI PENDUDUK SEDUNIA 2025

Empowering young people to create the families they want in a fair and hopeful world

Hari Penduduk Sedunia disambut setiap tahun pada 11 Julai dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun ini, tema yang dibawa ialah: Memperkasakan golongan muda untuk membina keluarga yang mereka inginkan dalam dunia yang adil dan penuh harapan.

Penduduk Malaysia pada tahun 2025 dianggarkan seramai 34.95 juta orang, dengan umur median 33.3 tahun dan kadar kesuburan sebanyak 1.89—iaitu di bawah paras penggantian penduduk. Tambahan pula, 30.2% daripada jumlah penduduk adalah berumur di bawah 19 tahun, manakala kumpulan usia bekerja (20–64 tahun) merangkumi 61.6%. Tetingkap demografi ini menawarkan peluang penting, namun hanya dapat dimanfaatkan sekiranya golongan muda diberi keupayaan untuk membuat keputusan termaklum dan secara sukarela berkaitan memulakan keluarga. Antara cabaran jangka panjang akibat penurunan kadar pertumbuhan penduduk termasuklah peningkatan nisbah warga emas berbanding golongan umur bekerja jesteru penyusutan tenaga kerja.

Menurut PBB, memperkasakan golongan muda untuk membentuk keluarga yang mereka kehendaki adalah elemen penting dalam pembangunan mampan dan kestabilan sosial. Secara global, terdapat 1.8 bilion orang muda berumur antara 10 hingga 24 tahun, menjadikan mereka generasi remaja dan golongan muda terbesar dalam sejarah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menekankan kepentingan perkhidmatan kesihatan reproduktif yang mesra remaja bagi mencegah kehamilan tidak dirancang serta menyokong aspirasi golongan muda.

Peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan pekerjaan dan akses terhad kepada perumahan mampu milik merupakan antara faktor yang mendorong ramai untuk menangguhkan perkahwinan atau mengehadkan bilangan anak, sekali gus menjejaskan keseimbangan demografi negara. Tambahan pula, remaja dan golongan belia di Malaysia turut berdepan pelbagai cabaran kesihatan yang mempengaruhi keupayaan mereka untuk merancang dan membina keluarga dengan yakin.

Langkah segera perlu diambil bagi menangani halangan-halangan ini, baik semasa usia remaja mahupun apabila mereka menyertai tenaga kerja. Berikut adalah beberapa cadangan langkah yang boleh dilaksanakan:

  1. Memperkukuh pendidikan kesihatan reproduktif di sekolah dan institusi pengajian tinggi, dengan penekanan terhadap keupayaan membuat keputusan termaklum dan akses kepada perkhidmatan berkaitan. Ini termasuk penggunaan platform digital secara optimum untuk menyampaikan maklumat perancangan keluarga yang mesra remaja, dengan jaminan privasi dan kebolehcapaian.

  2. Menyediakan ruang selamat bagi remaja dan muda untuk mendapatkan rundingan kesihatan yang mampu milik, termasuk isu kesihatan mental, kesihatan seksual-reproduktif dan kontrasepsi, tanpa stigma serta dengan jaminan kerahsiaan. WHO juga menyatakan bahawa perkhidmatan kesihatan yang mesra remaja mampu meningkatkan hasil dalam aspek kesihatan seksual, kesejahteraan mental, dan kualiti hidup secara keseluruhan.

  3. Memperluas skim perumahan khas untuk golongan muda, dengan memastikan pengagihan yang telus dan adil. Ini penting bagi menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk keluarga muda.

  4. Menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak yang fleksibel dan meningkatkan kemudahan pusat penjagaan anak di tempat kerja bagi meringankan beban keluarga muda.

  5. Memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan NGO dalam memantau serta menilai keberkesanan setiap inisiatif yang dilaksanakan.

Kesimpulannya, saya menyokong penuh dasar dan inovasi yang mengintegrasikan perspektif kesihatan remaja dan orang muda dalam dasar awam. Ini akan memperkasa golongan belia Malaysia untuk membina keluarga yang mereka idamkan serta menyumbang kepada pembangunan mampan negara dan kesejahteraan generasi masa hadapan.

Dr. Nurainul Hana Shamsuddin

Pensyarah Kanan dan Ketua

Jabatan Perubatan Keluarga

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Bidang kepakaran: Perubatan Keluarga, Kesihatan Remaja

Emel: nurainul@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 11/07/2025 | Kemaskini: 05/02/2026 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
S, (08:55:20pm-09:00:20pm, 04 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]