HARI RABIES SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI RABIES SEDUNIA 2025

HARI RABIES SEDUNIA 2025

Setiap 28 September, kita diseru untuk memperingati Hari Rabies Sedunia, di mana kita bersama-sama memerangi penyakit yang boleh dicegah ini. Tema bagi tahun 2025 adalah “Bertindak Sekarang: Anda, Saya, Komuniti” yang menggesa individu, pemimpin, dan komuniti untuk bertindak bersama bagi mencegah dan menghapuskan rabies.

 

Apa itu rabies?

Rabies disebabkan oleh virus rabies. Ia merebak terutamanya melalui gigitan haiwan yang dijangkiti kerana virus terdapat dalam air liur. Ia juga boleh merebak jika air liur terkena pada luka, calar, mata atau mulut. Rabies merupakan penyakit yang perlu dilaporkan seperti yang dinyatakan dalam Akta Binatang 1953 [Akta 647] bagi kesihatan haiwan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi kesihatan manusia.

 

Rabies di Malaysia

Berdasarkan laporan epidemiologi rabies di Malaysia dari tahun 2015-2023, anjing menyumbang sebanyak 89.35% kes rabies, namun liputan vaksinasi hanyalah 16.66%, jauh daripada kadar yang diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok. Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan hotspot rabies di Malaysia, merangkumi 97.99% daripada kes. Oleh itu, tindakan kita hari ini amat penting untuk mendidik, menyebarkan kesedaran kepada orang awam serta menyokong program vaksinasi bagi menghapuskan rabies.

 

Haiwan apa yang dikaitkan dengan rabies?

Rabies kebanyakannya dikaitkan dengan anjing dan kucing, tetapi haiwan liar seperti kelawar, musang, rakun, memerang, dan serigala kecil (jackal) juga boleh menyebarkannya.
Pada anjing, tanda klinikal rabies boleh muncul seawal 9 hari selepas digigit, atau selewat 6 bulan, malah dalam kes jarang berlaku sehingga setahun.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan tempoh pemerhatian 14 hari kerana haiwan yang berjangkit dengan rabies akan menunjukkan gejala atau mati dalam tempoh tersebut.

 

Bagaimana rabies berlaku?

Virus masuk ke dalam badan melalui luka gigitan, kemudian melekat pada saraf berhampiran. Ia bergerak perlahan sepanjang saraf dan sampai ke otak. Virus akan membiak dalam otak dan menyebabkan keradangan. Dari otak, virus merebak ke bahagian lain, terutama kelenjar air liur dan dikeluarkan melalui air liur.

 

Apakah gejala rabies?

Gejala klinikal rabies termasuk rasa mencucuk di tempat gigitan, demam, lemah badan, tingkah laku pelik, kesukaran menelan, air liur berlebihan akibat kekejangan otot tekak, takut air, dan lumpuh. Lebih 99% kes rabies berakhir dengan kematian jika rawatan ditangguhkan atau tidak diberikan sebelum gejala bermula.

 

Apa yang boleh kita lakukan jika rabies disyaki:

  • Basuh luka segera dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit.
  • Pergi ke klinik/hospital terdekat untuk rawatan perubatan segera.
  • Dapatkan vaksin rabies (profilaksis pasca-pendedahan).
  • Dapatkan immunoglobulin rabies (RIG) jika gigitan dalam atau teruk.
  • Lengkapkan jadual vaksin seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

 

Bertindak Sekarang: Anda, Saya, Komuniti. Apa maksudnya?

Bertindak sekarang untuk melindungi nyawa dan menghentikan rabies. Rabies hampir 100% membawa maut setelah gejala muncul, tetapi 100% boleh dicegah dengan tindakan yang betul.

  • Anda: Tanggungjawab anda untuk vaksinasi haiwan peliharaan, elakkan sentuhan berisiko dengan haiwan, dapatkan rawatan segera selepas terdedah.
  • Saya: Belajar dan mengajar orang lain, sokong usaha tempatan, berkempen untuk kawalan rabies di sekolah, klinik, dan kerajaan tempatan.
  • Komuniti: Bekerjasama dengan menyokong dan membantu dalam menyelaras program kesedaran rabies serta acara vaksinasi di peringkat komuniti.

 

Mesej penting

Gigitan tidak seharusnya meragut nyawa. Mari kita jadikan Hari Rabies Sedunia 2025 sebagai titik perubahan. Dengan tema “Bertindak Sekarang: Anda, Saya, Komuniti”, kita dapat melindungi nyawa dan menghapuskan rabies. Oleh kerana ia penyakit yang boleh dicegah, marilah kita berganding bahu menuju dunia bebas rabies. Tindakan kita mampu menghentikan rabies dan menyelamatkan komuniti.

Dr Rosni binti Ibrahim
Pensyarah Perubatan / Pakar Mikrobiologi Klinikal
Jabatan Mikrobiologi Perubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan / Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 26/09/2025 | Kemaskini: 26/09/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (06:54:35pm-06:59:35pm, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]