HARI SJOGREN SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI SJOGREN SEDUNIA 2025

HARI SJOGREN SEDUNIA 2025

Kesedaran Melalui Penyelidikan

Tarikh 23 Julai telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Hari Sindrom Sjogren sedunia. Ianya disambut setiap tahun bagi memberikan pendedahan serta berkongsi tentang kajian terkini berkenaan penyakit Sjogren kepada masyarakat. Bersempena dengan tarikh bersejarah ini, saya ingin berkongsi beberapa info penting mengenai penyakit ini.

Apa itu Sindrom Sjogren?
Sindrom Sjogren merupakan sejenis penyakit yang melibatkan keradangan pada kelenjar, terutamanya kelenjar air liur dan kelenjar mata. Keadaan ini menyebabkan pesakit mengalami kekeringan pada mulut dan mata kerana penghasilan air liur dan air mata menjadi berkurang. Ia tergolong dalam kumpulan penyakit autoimun, di mana sistem pertahanan badan menyerang tisu badan itu sendiri, khususnya kelenjar air liur dan mata.

Apakah gejala Sindrom Sjogren?
Gejala utama yang sering dialami oleh pesakit termasuk:

  • Kekeringan pada mata

Mata terasa pedih, gatal atau seperti berpasir.

  • Mulut kering

Mulut terasa seperti dipenuhi kapas, menyukarkan proses menelan atau bercakap.

Selain itu, sesetengah pesakit turut mengalami simptom tambahan seperti:

  • Sakit, bengkak atau kekakuan pada sendi
  • Pembengkakan pada kelenjar air liur, terutamanya di belakang rahang dan di hadapan telinga
  • Kulit kering atau ruam
  • Kekeringan pada faraj (vaginal dryness)
  • Batuk kering yang berpanjangan

 

Bagaimana penyakit ini dikesan?
Biasanya, pesakit akan dirujuk kepada pakar reumatologi, pakar oftalmologi atau doktor gigi. Doktor akan mengambil sejarah kesihatan secara terperinci dan menjalankan pemeriksaan fizikal menyeluruh. Pemeriksaan khas juga akan dilakukan untuk menilai tahap pengeluaran air mata dan air liur, seperti ujian Schrimer. Di samping itu, ujian darah, imbasan ultrasound pada kelenjar air liur serta biopsi kelenjar air liur turut dijalankan bagi mengesahkan diagnosis.

Bagaimana penyakit ini dirawat?
Jenis ubat yang diberikan bergantung kepada simptom yang dialami serta tahap keterukan penyakit. Pesakit yang mengalami pembengkakan kelenjar berulang biasanya akan diberikan hydroxychloroquine, iaitu ubat anti-malaria yang juga membantu meredakan simptom penyakit ini. Kadangkala, kortikosteroid sama ada dalam bentuk pil atau suntikan intravena akan digunakan. Bagi kes yang lebih serius, ubat-ubatan imunosupresif seperti Methotrexate atau Mycophenolate Mofetil, serta ubat biologik seperti Rituximab mungkin diperlukan. Kebanyakan ubat yang digunakan untuk merawat penyakit ini menggunakan prinsip terapi molekul bersasar bagi merawat tisu yang terjejas. Khas bagi merawat gejala mata kering, doktor mata akan menggalakkan penggunaan pelembap mata secara kerap dan memantau pesakit melalui temujanji berkala pemeriksaan mata.

Apakah prognosis untuk pesakit Sindrom Sjogren?
Prognosis berbeza bagi setiap pesakit, bergantung kepada jenis simptom dan bagaimana tubuh mereka bertindak balas terhadap rawatan. Dengan rawatan yang tepat dan konsisten, kebanyakan pesakit menunjukkan respon yang baik. Pesakit Sindrom Sjogren perlu dipantau secara berkala untuk mengesan sebarang komplikasi pada peringkat awal dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

Dr. Khairun Nisa Binti Mohd Zaidan

Pegawai Perubatan UD12

Jabatan Oftalmologi

Hospital Sultan Abdul Aziz Shah

Tarikh Input: 23/07/2025 | Kemaskini: 23/07/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (01:01:01am-01:06:01am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]