HARI TULANG BELAKANG SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » HARI TULANG BELAKANG SEDUNIA 2025

HARI TULANG BELAKANG SEDUNIA 2025

Invest in Your Spine

Sempena World Spine Day yang disambut pada 16 Oktober setiap tahun, tema bagi tahun 2025 iaitu “Melabur untuk Tulang Belakang Anda” menyeru seluruh masyarakat agar mengambil langkah proaktif menjaga tulang belakang sebagai satu aset kesihatan yang bernilai tinggi. Penjagaan tulang belakang bukan sahaja berkaitan dengan keselesaan individu, malah memberi kesan besar terhadap produktiviti, ekonomi, dan kesejahteraan sosial sesebuah negara.

FAKTA PENTING
Fakta menunjukkan bahawa sakit belakang merupakan masalah kesihatan awam global yang semakin membimbangkan. Pada tahun 2020 sahaja, masalah sakit belakang telah menjejaskan kira-kira 619 juta orang di seluruh dunia, dan angka ini dijangka meningkat kepada 843 juta menjelang tahun 2050. Malah, sakit belakang kini dikenalpasti sebagai penyebab tunggal utama kecacatan global. Lebih merisaukan, hampir 90% daripada kes sakit belakang dikategorikan sebagai sakit tulang belakang tidak spesifik, iaitu keadaan yang tidak dapat dikaitkan dengan punca organik jelas seperti tumor atau jangkitan. Sakit belakang boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira umur atau latar belakang, dan dalam konteks negara berpendapatan rendah dan sederhana, ramai masyarakat menghadapi kekurangan akses kepada profesional kesihatan tulang belakang serta perkhidmatan rehabilitasi khusus. Fakta-fakta ini jelas membuktikan bahawa sakit belakang bukanlah isu peribadi semata-mata, sebaliknya merupakan cabaran kesihatan awam yang bersifat global.

APAKAH YANG BOLEH DILAKUKAN
Bagi memastikan tema World Spine Day benar-benar diterjemahkan dalam tindakan, beberapa pendekatan perlu dipertimbangkan. Pendidikan awal di sekolah dan komuniti merupakan langkah asas yang boleh dilaksanakan, misalnya dengan memasukkan modul berkaitan postur serta latihan ringan dalam kurikulum Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Kempen kesedaran melalui media sosial, ceramah komuniti serta program saringan tulang belakang juga penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan penjagaan tulang belakang.

Di samping itu, tempat kerja perlu diatur dengan lebih mesra tulang belakang. Majikan disarankan menyediakan kerusi dan meja yang boleh dilaras, sokongan lumbar yang sesuai, serta mewujudkan amalan rehat regangan secara berkala. Senaman ringkas untuk tulang belakang di pejabat juga mampu membantu mengurangkan ketegangan otot belakang akibat duduk terlalu lama.

Aspek lain yang tidak kurang penting ialah peningkatan akses terhadap rawatan dan rehabilitasi. Kementerian Kesihatan bersama kerajaan negeri wajar memperuntukkan dana khusus bagi menubuhkan lebih banyak pusat rehabilitasi tulang belakang, terutamanya di kawasan luar bandar. Pada masa yang sama, bilangan pakar ortopedik, fisioterapi, dan pakar kesakitan tulang belakang perlu ditambah bagi memastikan rawatan berpandukan bukti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Selain itu, usaha pemantauan berterusan melalui penubuhan pangkalan data nasional mengenai masalah tulang belakang perlu dilakukan. Pangkalan data ini akan berperanan dalam memantau prevalens sakit belakang, keberkesanan rawatan, serta beban kos rawatan, sekali gus membantu kerajaan merancang dasar kesihatan jangka panjang yang lebih tepat dan berkesan.

Tidak kurang pentingnya, amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian turut menjadi pelaburan terbaik untuk kesihatan tulang belakang. Aktiviti fizikal seperti berjalan, regangan atau senaman ringan perlu dilakukan secara konsisten. Menjaga berat badan ideal dapat mengurangkan beban ke atas tulang belakang, manakala postur yang betul ketika duduk atau mengangkat objek boleh mencegah kecederaan. Penggunaan tilam yang sederhana ketegaran serta amalan mengelakkan merokok juga memberi kesan positif terhadap kesihatan tulang belakang dalam jangka panjang.

Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa penjagaan tulang belakang adalah tanggungjawab bersama. Setiap individu dan institusi perlu bertindak sekarang, bukan menunggu sehingga masalah menjadi lebih parah. Pelaburan dalam kesihatan tulang belakang hari ini akan memberikan pulangan besar dalam bentuk kualiti hidup, mobiliti, serta pengurangan kos kesihatan di masa depan. Masyarakat Malaysia harus melihat masalah sakit belakang sebagai isu kolektif, bukan sekadar beban pesakit, dan bersama-sama melaksanakan tindakan pencegahan, memperluas akses rawatan, serta mengutamakan pendidikan kesihatan.

Melabur dalam tulang belakang hari ini bermakna melindungikehidupan yang lebih bermutu esok.

Dr. Mohd Afiq Bin Muhamed Fuad
Pensyarah Perubatan & Pakar Ortopedik
Jabatan Ortopedik
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
mohdafiq@upm.edu.my

Tarikh Input: 16/10/2025 | Kemaskini: 16/10/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (10:24:54pm-10:29:54pm, 20 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]