Jangkaan 8,000 Kes Lebih Awal Jika Tiada Langkah Drastik | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Jangkaan 8,000 kes lebih awal jika tiada langkah drastik

Jangkaan 8,000 kes lebih awal jika tiada langkah drastik

Sinar Harian

NAZRIN ZULKAFLI | | 30 Januari 2021

SHAH ALAM - Jangkaan kes harian Covid-19 sebanyak 8,000 pada Mac depan berkemungkinan berlaku lebih awal sekiranya tiada langkah drastik yang dilakukan.


Menurut laporan portal Astro Awani, Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat, sekiranya jumlah harian terus melebihi 5,000 kes, perkara tersebut akan memberikan tekanan kepada kemudahan kesihatan.

“Besar kemungkinan, jangkaan 8,000 kes sehari pada bulan Mac ini, mungkin berlaku lebih awal.

"Maksudnya, kalau kita lihat pada awal dahulu, angka 8,000 dianggarkan pada pertengahan Mac namun jika keadaan ini berterusan dengan angka 5,000, dan langkah drastik di peringkat individu masyarakat tidak dipedulikan, jadi tidak mustahil angka itu akan terus meningkat pada kadar lebih awal,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan statistik kes baharu Covid-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari pada minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan melepasi kadar 1.2.

Malina juga berharap peningkatan kes tersebut dapat dielakkan agar tiada tekanan diberikan kepada kakitangan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: KP Kesihatan bimbang kes kematian akibat Covid-19 meningkat

Tambahnya, sukar bagi pihak hospital mengendalikan pesakit untuk mendapatkan rawatan yang baik sekiranya terlalu ramai mendapat gejala yang teruk dalam satu masa.

“Di kalangan anggota kakitangan kesihatan terutamanya, barisan hadapan yang mengendalikan pesakit-pesakit, terutama di hospital, kita lihat pertambahan kes kritikal.

“Kita kena faham bahawa apabila seseorang itu mendapat gejala, kita tidak pasti siapa di kalangan mereka ini akan mempunyai gejala yang teruk.

“Malah, perkembangan ini biasanya berlaku dalam keadaan yang cepat, jika terlalu ramai yang mendapat komplikasi yang teruk dalam satu masa.

“Jadi, sukar untuk pihak hospital dan mereka yang mengendalikan pesakit untuk mendapatkan rawatan sebaik-baiknya,” katanya pada Jumaat.

Pada masa sama, Malina juga menyarankan setiap individu dalam masyarakat mengambil lonjakan kes Covid-19 sebagai satu isu serius.

https://www.sinarharian.com.my/article/121547/KHAS/Covid-19/Jangkaan-8000-kes-lebih-awal-jika-tiada-langkah-drastik?fbclid=IwAR1KFBUgfnwwXyYPD-hChGMmbGsxITP_QEptuAIkTBV7ugQzZwxMqnyrCjQ

 

Tarikh Input: 01/02/2021 | Kemaskini: 01/02/2021 | norashiqin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
B1614646895