KESEDARAN OBESITI SEDUNIA 2025 | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » KESEDARAN OBESITI SEDUNIA 2025

KESEDARAN OBESITI SEDUNIA 2025

KESEDARAN OBESITI SEDUNIA 2025

Obesiti adalah wabak global yang dialami orang dewasa dan kanak-kanak. Insiden obesiti kanak-kanak telah meningkat secara global terutamanya selepas pandemik COVID 19 akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Di Malaysia, kadar masalah obesiti didapati meningkat daripada 10.6% pada tahun 2012 ke 14.3% pada tahun 2022 di kalangan remaja berumur 13-17 tahun. Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kebanyakannya berterusan sehingga waktu dewasa. Obesiti berhubungkait dengan diabetes jenis 2, masalah lemak tinggi, hati berlemak dan tekanan darah tinggi. Peningkatan insiden obesiti secara global telah mengakibatkan kanak-kanak obes mengalami komplikasi kesihatan pada usia yang semakin muda.

Kesedaran bahawa obesiti adalah suatu penyakit merupakan langkah pertama untuk menangani masalah obesiti di kalangan kanak-kanak. Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak boleh dikesan dengan mengambil bacaan indeks jisim badan (BMI) dan membandingkannya dengan carta BMI yang normal. Ukuran lilitan pinggang juga penting kerana ia lebih berkait rapat dengan komplikasi kesihatan. Obesiti yang dikesan sebelum umur 5 tahun memerlukan pemeriksaan yang lebih teliti kerana masalah obesiti ini mungkin juga berpunca daripada masalah hormon dan genetik.

Kanak-kanak obes yang berumur lebih daripada 10 tahun memerlukan saringan darah untuk mengesan komplikasi diabetes, lemak tinggi dan tekanan darah tinggi. Pengurusan obesiti bukan sahaja melibatkan pakar kanak-kanak, tetapi juga perlukan kerjasama  daripada pakar pemakanan, pakar fisioterapi dan pakar psikologi. Di klinik obesiti, pesakit dididik tentang cara pemakanan yang sihat mengikut keperluan kalori seharian dan cara senaman yang sesuai untuk penurunan berat badan. Ubat anti-obesiti juga boleh diberi kepada pesakit tertentu terutamanya jika komplikasi kesihatan telah berlaku. Untuk mengekalkan penurunan berat badan dengan berjaya, pengubahsuaian gaya hidup bukan sahaja terhad kepada pesakit tetapi juga harus melibati seluruh keluarga. Pelancaran garis panduan tentang pengendalian masalah obesiti pada tahun 2023 merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memberi kesedaran dan panduan untuk menangani masalah obesiti.

Memandangkan obesiti kanak-kanak adalah fenomena global, usaha untuk memerangi obesiti tidak akan berjaya jika ia hanya melibati anggota kesihatan. Memandangkan persekitaran sekolah berkait rapat dengan kehidupan kanak-kanak, penyediaan makanan berkhasiat di sekolah dan aktiviti fizikal yang mencukupi, termasuk aktiviti luar kurikulum, adalah sangat penting untuk membolehkan kanak-kanak mengamalkan gaya hidup yang sihat dan seimbang. Kempen dan saringan kesihatan juga penting untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat dan mengesan komplikasi obesiti  dengan lebih awal.

Kesimpulannya, usaha pemerangan obesiti mempunyai banyak cabaran. Usaha untuk memerangi wabak global ini memerlukan kerjasama erat semua pihak kerana ia bukan sahaja melibati pesakit dan anggota kesihatan, tetapi juga melibati ahli keluarga, masyarakat dan pihak kerajaan.

Dr. Lee Yee Lin

Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik Endokrinologi

Jabatan Pediatrik

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Putra Malaysia

Pediatrik Endocrinologi

yeelin@upm.edu.my

Tarikh Input: 12/03/2025 | Kemaskini: 12/03/2025 | nadia_rahman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
W, (11:37:12am-11:42:12am, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]