Klamidia Penyakit Kelamin Penyebab Mandul | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Klamidia penyakit kelamin penyebab mandul

Klamidia penyakit kelamin penyebab mandul

KLAMIDIA disebabkan oleh chlamydia trachomatis antara penyakit penyakit kelamin yang paling biasa berlaku hingga memberikan implikasi kepada penderitanya sama ada lelaki atau wanita.

Laporan menunjukkan klamidia menyumbang kepada jangkitan bakteria, iaitu dijangkiti melalui hubungan seksual atau penyakit kelamin.

Penularan penyakit klamidia ini boleh berlaku menerusi hubungan seks sama ada melalui faraj, dubur atau oral (mulut).

Mengulas lanjut, pakar dari Jabatan Mikrobiologi Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Niazlin Mohd Taib, berkata lazimnya penyakit itu babitkan lelaki dan wanita yang berusia antara 15 hingga 39 tahun.

Banyak usaha dan minat ditumpukan untuk memahami lebih lanjut mengenai klamidia kerana jangkitan Chlamydia trachomatis menjadi masalah terutama di negara membangun dan di negara perindustrian.

Ia penyebab utama buta (trakoma) dan salah satu kuman penyakit sebaran seksual (STD) dan penyebab utama penyakit radang pelvis dan ketidaksuburan fallopian tiub wanita.

Kemandulan di luar rahim

Menurutnya Dr Niazlin, segolongan besar wanita yang menghidapi jangkitan ini tidak mendapat rawatan kerana tiada gejala.

Tanpa rawatan, penyakit radang pelvis atau pelvis inflammatory disease (PID) boleh berlaku dan menjadi kronik.

"Akhirnya ini mengakibatkan salah satu risiko ketidaksuburan dan kehamilan di luar rahim," katanya.

Penyakit klamidia ini boleh menyebabkan jangkitan bakteria kepada wanita dan boleh merebak ke dalam organ seperti ovari, saluran ovari dan rahim wanita.

Semasa jangkitan, proses tindak balas berlaku di dalam tisu organ mengakibatkan kerosakan tisu, fibrosis dan terjadinya parut.

Katanya, kekerapan jangkitan dan kegagalan pemulihan menyebabkan penyakit pelvis kronik dan akhirnya fallopian tiub akan tersumbat.

"Fallopian tiub yang tersumbat akan menghalang persenyawaan sperma dan telur secara normal mengakibatkan kemandulan dan kemungkinan kehamilan di luar rahim berlaku," katanya.

Jejaskan kesuburan lelaki

Jangkitan klamidia juga boleh menjejaskan kesuburan lelaki dengan merosakkan sperma secara langsung, mengurangkan pergerakan sperma dan kualiti semen yang dihasilkan.

"Ia juga merosakkan saluran pembiakan lelaki menyebabkan kerosakan testis dan tiada sperma di dalam semen kerana tersumbat saluran," katanya.

Bagi wanita, risiko berlaku dalam kalangan ibu mengandung yang menghidapi klamidia dan boleh menjangkiti bayi serta meningkatkan risiko kematian atau kekurangan berat bayi.

Jangkitan baru lahir ketika bersalin hingga menyebabkan risiko kematian atau kekurangan berat bayi, mengakibatkan radang paru-paru dan jangkitan pada mata bayi.  

Terdapat perbezaan keputusan kajian mengenai klamidia membabitkan jantina, iaitu dalam laporan kajian remaja berumur 14 hingga 19 tahun di New Orleans diterbitkan 2022, remaja lelaki lebih cenderung menderita penyakit itu.

Kajian di Kenya diterbitkan pada 2019 pula, menunjukkan lelaki lebih ramai dijangkiti.  Sebaliknya, kajian diterbitkan di Tanzania, pada 2022 mendapati lebih ramai wanita dijangkiti klamidia. Bagaimanapun, ramai penghidap tiada gejala dan data diperoleh mungkin tidak tepat dan berbeza mengikut populasi sampel kajian. 

Simptom penyakit

Menurut Dr Niazlin, seseorang mungkin tidak menyedari mereka mempunyai jangkitan kerana mungkin tiada gejala.

Gejala selepas satu hingga tiga minggu jangkitan seperti berlaku rembesan keputihan melalui alat kelamin dan terasa gatal.

Bagi wanita yang terasa sakit ketika kencing, mungkin ini antara simptom lain wajar diberi perhatian, selain sakit pada bahagian perut.

Gejala lain, berlaku pendarahan ketika haid, sakit ketika mengadakan hubungan seksual bagi wanita, manakala lelaki bengkak pada testis.

"Ada individu mengalami demam yang dikaitkan dengan sakit kepala dan badan serta jangkitan pada mata," katanya.

Jika tidak dirawat, komplikasi akan berlaku

Klamidia akan menyebabkan komplikasi kepada pesakit wanita, lelaki dan bayi yang dijangkiti. Radang pelvis pada wanita boleh menyebabkan ketidaksuburan, lelaki mengakibatkan radang uretra dan epididimis, manakala kanak-kanak berisiko mendapat radang paru-paru dan konjunktivitis.

 

Pengesan jangkitan kuman boleh dilakukan melalui pengambilan swab pada pangkal rahim wanita, manakala hujung salur air kencing bagi lelaki.

Pengesanan kuman melalui air kencing boleh juga dilakukan kepada lelaki atau wanita.

Rawatan penyakit ini berdasarkan beberapa faktor seperti tempat dijangkiti, umur pesakit, status mengandung dan komplikasi penyakit.

Mereka dijangkiti perlu mendapatkan rawatan awal dan begitu juga kepada pasangan terbabit.

"Aktiviti seks perlu dielakkan sehingga rawatan selesai. Rawatan susulan penting kerana doktor perlu memastikan jangkitan penyakit sembuh sepenuhnya.

"Jika rawatan bersesuaian mengikut pencegahan disarankan dan mengambil antibiotik mengikut preskrepsi doktor, peratus untuk sembuh adalah tinggi.

Langkah pencegahan

Individu perlu mengelak seks secara rambang, menjaga kebersihan diri dan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan.

Seorang aktif dalam hubungan sesama atau seks rambang disarankan menggunakan kondom atau diaphragms semasa hubungan intim.

Risiko klamidia (atau lain-lain jangkitan penyakit seksual) akan meningkat dengan pertambahan bilangan pasangan seksual.

Justeru, penting mengenal pasti dan merawat pesakit serta pasangan dijangkiti kerana ia membabitkan golongan muda. Program saringan terancang disarankan untuk mengenal pasti pesakit tidak mempunyai gejala.   

"Terkini perintang antibiotik terhadap Chlamydia trachomatis organisma penyebab sudah dikesan. Pengambilan antibiotik yang betul dan mengikut preskripsi amat disarankan," katanya.

Info mengenai klamidia

 

    • Berasal daripada bahasa Yunani.

 

    • Bermaksud mantel seperti jubah.

 

    • Istilah - klamidia patogen protozoa dijumpai dalam sel menyelubungi nukleus sel dijangkiti.

 Kini, klamidia - organisma prokariotik dan (vesikel sitoplasma mengandungi banyak organisma dipanggil 'inclusion bodies'.

 https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2023/01/1057316/klamidia-penyakit-kelamin-penyebab-mandul#.Y-RCs1eV14s.whatsapp
 

Tarikh Input: 17/02/2023 | Kemaskini: 17/02/2023 | norashiqin

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXFYFAc~