
PERKENAL STEM DI AWAL USIA BANTU PUPUK MINAT PELAJAR TERHADAP STEM
Kanak-kanak merupakan permata dan pelapis negara dalam menerajui masa hadapan. Menurut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), penjagaan dan pendidikan kanak-kanak pada usia awal adalah lebih kritikal berbanding menyediakan mereka untuk menjejakkan kaki ke alam persekolahan semata-mata. Hal ini penting untuk memberi fokus sepenuhnya pada perkembangan menyeluruh kanak-kanak awal usia yang merangkumi sosial, emosi, kognitif serta keperluan asas dan fizikal yang kukuh untuk menjamin pembelajaran yang kekal berterusan.
Hal ini kerana, pada usia antara 3 hingga 7 tahun, kanak-kanak mempunyai minat meneroka yang tinggi, gemar bertanyakan pelbagai soalan mencabar serta mempunyai aras kreativiti yang maksima. Oleh itu, peringkat umur ini adalah peringkat yang sangat sesuai untuk diperkenalkan dengan konsep asas STEM.
STEM merupakan singkatan kepada Science Technology Engineering and Mathematics. Namun, pengenalan STEM kepada kanak-kanak diawal usia bukanlah terhad semata-mata kepada pemupukan minat terhadap matematik dan sains sahaja.
Ia turut membantu kanak-kanak mengasah cara pemikiran yang kreatif dan kritis selain menggalakkan rasa ingin tahu. Pembentukan dan perkembangan kemahiran berfikir secara kritis ini seterusnya menggalakkan kanak-kanak untuk memberi jawapan yang lebih kompleks kepada persoalan mudah berbanding dengan hanya menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’. Ini secara tidak langsung turut membawa kepada peningkatan kemahiran berbahasa.
Hasil kajian kebolehlaksanaan pengenalan kepada STEM di 19 buah taska PERMATA yang diketuai oleh Prof Madya Dr Mazlini Adnan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2016, menunjukkan bahawa, kanak-kanak berumur antara 3 hingga 4 tahun berupaya mempelajari STEM dengan baik melalui bimbingan yang betul.
Malahan di Malaysia, STEM telah mula diperkenalkan sejak tahun 1967 lagi oleh Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi (JKPPT). Jawatankuasa ini telah memperkenalkan nisbah unjuran 60 peratus pelajar mengambil jurusan sains dan 40 peratus pelajar dalam aliran sastera. Beberapa inisiatif juga telah diambil dalam usaha memperkukuhkan Pendidikan STEM dikalangan pelajar sekolah.
Pada tahun 2016, dengan kerjasama tiga kementerian di Malaysia iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah merangka satu Pelan Tindakan STEM Nasional 2017-2025 bagi mendukung usaha kerajaan memupuk minat STEM dikalangan pelajar sekolah.
Demi mengangkat lagi usaha kerajaan, pada Mei 2024, Menteri Pendidikan Malaysia, Puan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan Malaysia bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melaksanakan program bersama saintis di 100 buah sekolah seluruh negara. Bukan itu sahaja, Jawatankuasa Khas STEM akan turut ditubuhkan bagi memastikan hala tuju STEM diperkasakan.
Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang dapat membudayakan sains dan teknologi dalam kehidupan selain berdaya saing dalam membantu negara mencapai status negara maju. Namun dengan segala usaha, penyelidikan dan peruntukan yang telah dilaburkan oleh kerajaan, mengapa terdapat kemerosotan yang ketara dikalangan pelajar yang mengambil jurusan sains?
Kemerosotan ini bukanlah perkara yang baru. Ia pernah direkodkan dalam Laporan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD), 2010 yang melaporkan peratusan pelajar yang mengambil subjek matematik, fizik dan kimia berada pada tahap yang membimbangkan. Pada tahun 2019, bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik turut menyuarakan kebimbangan ini apabila hanya 44 peratus pelajar Malaysia yang mengambil bidang STEM berbanding 49 peratus pada tahun 2012. Pada tahun 2020, Pengerusi National STEM Movement, Prof Datuk Dr Noraini Idris melaporkan hanya 19 peratus sahaja pelajar daripada kira-kira 447,000 calon yang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah memilih untuk memasuki aliran sains. Malahan, pada tahun 2023, hanya 15.2 peratus sahaja pelajar yang mengambil jurusan sains.
Berdasarkan beberapa penyelidikan yang telah dijalankan, kemerosotan minat pelajar mengambil STEM adalah kerana penguasaan konsep sains, teknologi dan matematik yang lemah. Subjek sains dan matematik juga dianggap sebagai subjek yang sukar dipelajari. Ini menyebabkan ramai pelajar khuatir sekiranya mereka mendapat markah peperiksaan yang rendah.
Selain itu, kekurangan pendedahan terhadap kepelbagaian bidang kerjaya untuk graduan sains turut menjadi faktor penyumbang kepada kemerosotan ini. Harus ditekankan bahawa pembudayaan dan minat STEM ini perlu diperkasakan bagi mendukung usaha kerajaan yang akan melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 yang sasarannya menghasilkan generasi berdaya saing diperingkat global.
Justeru itu, apakah perkaitan di antara memupuk minat STEM diawal usia dengan kebarangkalian pelajar meminati sains apabila berada disekolah nanti? Kanak-kanak mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi dan suka bereksperimen. Dengan pemupukan minat STEM diawal usia, ini secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk tidak merasa kekok atau sukar untuk mempelajari subjek sains dan matematik terutamanya apabila memasuki alam persekolahan rendah dan seterusnya, menengah.
Minat yang tinggi serta perasaan ingin tahu yang menebal terhadap STEM ini akan dapat mengatasi rasa sukar dan risau untuk menguasai bidang ini. Malahan, adalah lebih bagus sekiranya minat ini diasah sejak dari peringkat pra-sekolah melalui pemupukan kemahiran berfikir berasaskan sains, menggalakkan aktiviti permainan yang lebih kreatif serta komunikasi dua hala yang dapat membantu mereka mengembangkan lagi kemahiran kognitif.
Guru-guru pra-sekolah dan sekolah boleh membantu dengan menyediakan eksperimen sains yang mudah dan menarik serta diikuti dengan penerangan ringkas. Selain itu, ibu bapa juga boleh membantu anak-anak kecil ini dalam memahami sains dengan lebih baik. Sebenarnya, apa sahaja yang berlaku disekeliling kita adalah sangat berkait rapat dengan sains.
Kita juga tanpa sedar sebenarnya telah sebati dengan sains yang berada dimana-mana seperti rangsangan deria, alam semulajadi, amalan kehidupan seharian sehinggalah mendongak tinggi ke awan biru. Contoh asas sains yang paling mudah dipelajari ialah penerangan disebalik bagaimana berlakunya hujan, siang dan malam serta bagaimana pelangi terhasil selepas hujan.
Asas sains mudah ini secara tidak langsung akan menarik minat kanak-kanak untuk terus bertanya dan berfikir. Penyediaan bahan-bahan bacaan sains yang mudah dan bergambar juga dapat membantu anak-anak kecil memahaminya dengan baik. Adalah penting untuk ibu bapa atau guru-guru menerangkannya dalam bahasa dan analogi yang mudah difahami oleh anak-anak kecil. Di zaman teknologi yang semakin maju ini, penggunaan telefon pintar dengan pengawasan ibu bapa atau penjaga juga boleh membantu memupuk minat terhadap STEM kepada anak kecil, dengan bantuan pelbagai aplikasi dan sumber yang sesuai.
Namun, harus diingatkan bahawa pendedahan terhadap STEM pada kanak-kanak diawal usia ini perlu dipupuk secara perlahan-lahan untuk menjamin minat tersebut kekal berterusan. Oleh itu, kerjasama dari semua pihak terutamanya ibu bapa, guru-guru dan Kementerian Pendidikan Malaysia terutamanya adalah penting untuk memastikan pelapis negara ini tidak ketinggalan dalam merealisasikan impian negara untuk terus maju didalam bidang STEM.

Ts. Dr. Sharifah Sakinah Syed Alwi
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Bioperubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia
Tarikh Input: 06/08/2024 | Kemaskini: 09/08/2024 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506