Perkukuh Kerjasama Awam, Swasta Laksana Saringan Tibi Lebih Efisien | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Perkukuh kerjasama awam, swasta laksana saringan tibi lebih efisien

Perkukuh kerjasama awam, swasta laksana saringan tibi lebih efisien

Oleh Dr Siti Aisah Mokhtar - April 4, 2023 @ 10:49am

 

PADA tahun lalu, Malaysia melaporkan peningkatan kes tibi atau batuk kering sebanyak 17 peratus iaitu 78 kes bagi setiap 100,000 individu, manakala kematian akibat penyakit ini meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun, peningkatan ini masih rendah berbanding anggaran kes diunjur Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO), iaitu 97 kes bagi setiap 100,000 individu.

Antara faktor menyumbang peningkatan tibi di Malaysia pada tahun lalu disebabkan susulan implikasi pandemik COVID-19. Pada 2020, negara mengalami penularan COVID-19, yang mana aktiviti dan sumber kesihatan awam lebih tertumpu untuk mengawal dan mengekang penularan pandemik ini.

Aktiviti saringan tibi dan penyakit lain terjejas menyebabkan kes dilaporkan juga rendah berbanding kes dilaporkan pada tahun sebelum ini.

Ketika berada dalam fasa peralihan ke endemik, peningkatan kes tibi mula dicatatkan. Ini menunjukkan aktiviti saringan tibi mula digiatkan seperti tahun sebelum pandemik dan lebih banyak kes mula dikesan sama seperti tahun sebelum berlakunya pandemik.

Selain itu, ketika pandemik, Malaysia menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan bukan sahaja aktiviti saringan berkurangan, malah aktiviti rawatan pesakit tibi juga dikurangkan.

Ini disebabkan aktiviti dan sumber kesihatan lebih tertumpu kepada saringan dan rawatan COVID-19 ketika itu, manakala ketika PKP, masyarakat diarahkan tidak keluar rumah bagi mengawal penularan COVID-19.

Apabila memasuki pasca pandemik, lebih banyak kes tibi mula dikesan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kes itu di seluruh negara.

Kini, negara berada dalam fasa peralihan ke endemik dan sektor kesihatan terpaksa perlu berdepan dengan beban kesihatan tertangguh ketika pandemik termasuk beban saringan tibi.

Saringan tibi mula dipergiatkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengesan pesakit tidak dikesan pada tahun sebelum ini. Bagaimanapun, jumlah kes dilaporkan masih rendah berbanding jangkaan WHO. Ini menunjukkan bilangan saringan masih belum mencukupi bagi mencapai unjuran kes dianggarkan WHO.

Sebelum ini, saringan kes tibi lebih bertumpu kepada individu bergejala, kontak rapat dan mereka yang berada dalam kumpulan risiko tinggi seperti pekerja asing, warga emas dan individu mempunyai penyakit kronik. Maka, aktiviti saringan ini terutama bagi golongan berisiko tinggi perlu dipertingkatkan lagi dalam tempoh ini.

Penggunaan teknologi seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) sangat membantu bagi saringan tibi ini. Dengan mengenal pasti kawasan titik panas, aktiviti saringan akan dapat dijalankan lebih fokus di kawasan terbabit.

Aktiviti kesedaran terhadap tibi, kemudahan saringan dan rawatan akan lebih berfokus bagi memastikan setiap individu berisiko tinggi mendapat tibi dapat disaring dengan lebih proaktif dan efektif di kawasan dikenal pasti.

Penggunaan aplikasi kesihatan seperti MySejahtera yang pernah digunakan ketika pandemik COVID-19 juga wajar dimanfaatkan bagi membantu mempertingkatkan saringan tibi.

Aplikasi sebegini boleh mengenal pasti status hotspot kawasan tempat tinggal mereka dan mengenal pasti kawasan saringan tibi terhampir dengan mereka bagi pemeriksaan lebih lanjut.

Selain itu, amaran boleh dihantar sekiranya individu memasuki kawasan hotspot dan apakah langkah keselamatan boleh diambil bagi mengelakkan daripada dijangkiti tibi.

Pengukuhan kerjasama dan rakan kongsi bersama fasiliti kesihatan swasta sangat penting bagi memastikan saringan tibi dapat dijalankan secara menyeluruh.

Pelan strategik saringan pasca pandemik

Hakikatnya, kerjasama ini sudah wujud sebelum pandemik lagi, bagaimanapun ketika ini ia perlu diperkukuhkan dan sesi perbincangan bersama fasiliti swasta perlu diadakan bagi memastikan setiap agensi dapat memahami sepenuhnya pelan strategi saringan tibi pasca pandemik.

Ini adalah antara satu langkah sangat penting, memandangkan pasca pandemik, banyak beban kesihatan tertangguh perlu diselesaikan sektor kesihatan awam.

Dengan adanya kolaborasi sebegini, beban sektor kesihatan awam dapat dikongsi bersama fasiliti swasta dan pada masa sama, saringan tibi dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Kerjasama antara agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut penting dalam usaha mengurangkan kes tibi.

Agensi terbabit boleh terbabit sama dengan KKM dalam program promosi kesihatan memfokuskan kepada penduduk berisiko tinggi dan di kawasan luar bandar.

Program kesihatan dan saringan tibi bersasar boleh dijalankan bersepadu dengan agensi terbabit supaya saringan dapat dijalankan lebih menyeluruh dan sampai kepada setiap komuniti.

Peningkatan program kesedaran mengenai tibi dalam kalangan masyarakat juga perlu diperkukuhkan. Sebelum ini, ramai menganggap tibi adalah penyakit lama dan tidak penting seperti penyakit lain.

Namun, tanggapan ini amat salah. Walaupun tibi boleh dirawat, kesungguhan menjalani rawatan adalah amat penting. Pesakit patuh pada rawatan perlu melengkapkan tempoh enam bulan rawatan susulan untuk mengelakkan komplikasi tibi rintang ubat, yang kini menjadi ancaman utama rawatan penyakit ini.

Masyarakat perlu sedar saringan tibi sangat penting supaya mereka yang terkena penyakit ini dapat menerima rawatan awal dan paling penting dapat mencegah penularan penyakit dalam komuniti.

Program kesedaran penyakit tibi masih perlu disebarkan secara meluas supaya semua orang dalam komuniti memahami kepentingan menangani penyakit ini. Jika kita mampu melakukannya untuk COVID-19, kita juga boleh melakukannya pada tibi.

Dalam hal ini, kerajaan perlu menjadikan penyakit tibi sebagai satu daripada keutamaan negara. Usaha meningkatkan saringan tibi memerlukan sumber lebih banyak, termasuk kewangan, sumber manusia, makmal dan alat uji saringan.

Jika saringan tibi dalam masyarakat tidak efisien, penularan penyakit ini akan menjadi lebih mudah dan cepat. Individu terkena jangkitan tibi akan mudah mengalami komplikasi kesihatan, tidak dapat hadir ke tempat kerja, meningkatkan kos kesihatan negara dan akhirnya memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Untuk memerangi penyakit ini, ia memerlukan komitmen dan usaha bersama setiap agensi sama ada di sektor awam dan swasta. Dengan penggunaan teknologi dan kerjasama pintar dengan agensi lain, kita mampu mengawal penyebaran penyakit ini di negara kita.

Penulis adalah Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

*sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/04/1085801/perkukuh-kerjasama-awam-swasta-laksana-saringan-tibi-lebih-efisien

Tarikh Input: 06/04/2023 | Kemaskini: 06/04/2023 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXETJAJ~