
SAMBUTAN HARI PRAMATANG SEDUNIA 2024
“Small actions, BIG IMPACT: Immediate skin-to-skin care for every baby everywhere.”
Sempena Sambutan Hari Pramatang Sedunia, yang disambut pada 17 November setiap tahun, wajarlah kita meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi oleh bayi pramatang dan keluarga mereka. Sambutan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghargai kekuatan dan ketabahan keluarga yang menjaga serta membesarkan bayi pramatang, malah untuk memberikan mereka harapan, dan sokongan yang diperlukan.
Bayi pramatang adalah bayi yang dilahirkan sebelum kandungan mencapai usia 37 minggu kehamilan. Bayi premating boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori: teramat pramatang (lahir sebelum 28 minggu), sangat pramatang (lahir antara 28 hingga 32 minggu), dan pramatang sederhana hingga lewat (lahir antara 32 hingga 37 minggu). Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 10 bayi di seluruh dunia dilahirkan pramatang, dengan anggaran 15 juta bayi pramatang dilahirkan setiap tahun. Bayi-bayi ini dilahirkan dengan organ yang belum matang dan menghadapi pelbagai risiko kesihatan seperti kesukaran mengawal suhu badan, masalah pernafasan, dan sistem imun yang lemah yang mudah terdedah kepada jangkitan kuman yang serius. Ini menyebabkan kadar kematian mereka lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan cukup bulan. Selain itu, bayi pramatang juga berisiko menghadapi komplikasi jangka panjang seperti kecederaan otak, masalah pembelajaran serta masalah penglihatan dan pendengaran. Walau bagaimanapun, dengan intervensi awal dan penjagaan khas, kebanyakan risiko ini boleh dikurangkan dan memberi harapan yang cerah untuk masa depan bayi-bayi ini. Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) memainkan peranan penting dalam menyediakan penjagaan dan pemantauan khusus untuk menyokong keperluan bayi pramatang. Kemajuan dalam perubatan neonatal telah meningkatkan kadar kelansungan hidup bayi pramatang dengan ketara, menunjukkan kepentingan intervensi khusus dalam situasi ini.
Tema Sambutan Hari Pramatang bagi tahun ini adalah “Small actions, BIG IMPACT: Immediate skin-to-skin care for every baby everywhere”. Tema ini menekankan betapa pentingnya tindakan mudah yang berkesan dan memberi impak yang besar kepada kesihatan bayi pramatang. Penjagaan kulit ke kulit, atau dikenali sebagai “kanggaru care”, melibatkan meletakkan bayi secara langsung di atas dada ibu atau bapa. Amalan ini bukan sahaja membantu bayi untuk kekal hangat, tetapi juga menstabilkan pernafasan dan kadar degupan jantung mereka, seterusnya mengurangkan tekanan dan menyebabkan bayi kekal tenang. Selain itu, ia menguatkan sistem imun bayi, meningkatkan keupayaan mereka untuk melawan jangkitan kuman yang serius. Kajian telah menunjukkan bahawa bayi yang menerima penjagaan kulit ke kulit akan mengalami peningkatan berat badan yang lebih cepat, dibenarkan keluar dari hospital lebih awal dan dapat membina ikatan emosi yang lebih erat dengan ibu bapa mereka. Di samping itu, penjagaan kulit ke kulit juga menyokong penyusuan susu ibu dan memperkukuhkan hubungan ibu bapa, seterusnya meningkatkan kesejahteraan fizikal bayi pramatang.
Penjagaan kulit ke kulit tidak memerlukan peralatan khas atau teknologi canggih, menjadikannya satu amalan semula jadi dan mudah dilaksanakan di hampir semua hospital di seluruh dunia. Pada sambutan Hari Pramatang Sedunia tahun ini, kita diingatkan bahawa amalan yang paling mudah dapat memberikan impak yang paling besar. Dengan menyokong intervensi mudah ini, kita boleh membantu memberikan IMPAK BESAR terhadap kesihatan dan masa depan bayi pramatang di seluruh dunia. Marilah kita sama-sama menyokong keluarga, berkongsi pengetahuan dan mengambil tindakan untuk meningkatkan kualiti kehidupan bayi pramatang di mana-mana sahaja.

Dr. Zurina Zainudin
Perunding Pakar Pediatrik & Neonatologi / Pensyarah Kanan
Jabatan Pediatrik
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
emel: zaizurina@upm.edu.my
Tarikh Input: 17/11/2024 | Kemaskini: 17/11/2024 | nadia_rahman

Pejabat Dekan, Aras 4, Bangunan Pentadbiran,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
43400 UPM Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Pra Siswazah 0397692608 (MD) / 0397692606 (SK)
Pasca Siswazah 0397692604/2506