Master Perubatan Keluarga | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN medic
» AKADEMIK » Pengajian Siswazah (Perubatan) » Master Perubatan Keluarga

Master Perubatan Keluarga

PENGENALAN

Program Master Perubatan Keluarga telah ditawarkan di Universiti Putra Malaysia bermula pada tahun 2011 setelah mendapat akreditasi daripada  Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Ianya  adalah program pascasiswazah, latihan dalam pekerjaan selama 4 tahun minima dan 7 tahun maksima. Ianya bertujuan untuk melahirkan Pakar Perubatan Keluarga yang kompeten.

Program Master Perubatan Keluarga bertujuan:

  1. Untuk menghasilkan pakar Perubatan Keluarga yang berkebolehan dalam pengurusan pesakit dengan cekap di peringkat penjagaan kesihatan primer.
  2. Untuk menghasilkan Pakar Perubatan Keluarga yang berkemahiran dalam penyelidikan dan amalan perubatan berasaskan bukti saintifik di peringkat penjagaan kesihatan primer.
  3. Untuk menghasilkan Pakar Perubatan Keluarga yang berkemahiran dalam kepemimpinan dan komunikasi dalam pengurusan amalan penjagaan kesihatan primer.
  4. Untuk menghasilkan Pakar Perubatan Keluarga yang berkeupayaan untuk mengurus sumber dengan cekap dan proaktif terhadap keperluan penjagaan kesihatan primer.

 

Program ini dilaksanakan dalam 3 fasa : Fasa I (tahun 1), Fasa II (tahun 2  &3) dan Fasa III (tahun 4), dan dilaksanakan secara sistem terbuka (open system).


Fasa I dijalankan selama satu (1) tahun merangkumi 3 penempatan utama: Perubatan, Obstetrik& Ginekologi dan Pediatrik. Calon akan mengikuti latihan fasa I di hospital-hospital yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Peperiksaan professional bahagian 1 akan diadakan di akhir tahun 1. Calon mesti lulus peperiksaan teori sebelum meneruskan peperiksaan klinikal. Calon mesti lulus semua bahagian untuk meneruskan ke program Fasa II.


Fasa II dijalankan selama dua (2) tahun. Pada tahun 2, calon akan menjalani latihan di 10 penempatan klinikal minor yang wajib, 1 penempatan elektif dan 1 kursus metodologi penyelidikan. Calon akan mengikuti latihan tahun 2 di hospital-hospital yang diiktiraf oleh UPM dan Kementerian Kesihatan. Pada tahun ketiga, calon akan menjalani latihan klinikal perubatan keluarga di Klinik Kesihatan, KKM dan Klinik Perubatan Keluarga Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM secara bergilir. Peperiksaan Profesional bahagian II akan dijalankan pada hujung tahun 3. Calon mesti lulus semua bahagian untuk meneruskan ke program Fasa III.


Pada tahun 4 (tahun akhir) calon akan meneruskan pengajian di klinik kesihatan, KKM. Calon juga dikehendaki menghantar dan lulus projek penyelidikan dan laporan kes komentari keluarga serta laporan penyelia klinikal dan akademik yang memuaskan sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan profesional fasa III pada akhir fasa III. Calon diwajibkan menduduki dan lulus Peperiksaan Professional bahagian III sebelum dianugerahkan Master Perubatan Keluarga.

 

STRUKTUR KURIKULUM

FASA I : TAHUN 1

  • Latihan Klinikal Perubatan Keluarga peringkat tertiari: Perubatan Dalaman, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), dan Pediatrik.
  • Penyediaan laporan kes klinikal (1 kes komentari)
  • Peperiksaan Profesional Fasa I (teori 60% dan klinikal 40%)
  • Laporan Penyelia Klinikal dan Penyelia Akademik yang memuaskan

 

FASA II: TAHUN 2 & TAHUN 3

  • Latihan Klinikal Perubatan Keluarga peringkat tertiari: Surgeri, Ortopedik, Otorinolaringologi, Oftalmologi, Trauma dan Kecemasan, Dermatologi, Radiologi, Penyakit Berjangkit, Perubatan Pemulihan, Geriatrik, Psikiatri, Perubatan Paliatif/Perubatan Sukan, Pengenalan kepada Metodologi Penyelidikan.
  • Latihan Klinikal Perubatan Keluarga di peringkat primer di Klinik Kesihatan.
  • Peperiksaan Klinikal Fasa II (teori 40 % dan klinikal 60%)
  • Laporan Penyelia Klinikal dan Penyelia Akademik yang memuaskan

 

FASA III: TAHUN 4

  • Latihan di Klinik Kesihatan sebagai Pakar Perubatan Keluarga dalam latihan di bawah pengawasan.
  • Pelaksanaan projek penyelidikan yang bermula dari Tahun 3.
  • Penyediaan laporan kes klinikal (2 kes komentari keluarga).
  • Penyediaan laporan disertasi.
  • Laporan Penyelia Klinikal dan Penyelia Akademik yang memuaskan
  • Peperiksaan Klinikal Fasa III 

 

SYARAT KEMASUKAN

CALON MALAYSIA

Calon mestilah mempunyai kelulusan seperti berikut:

  1. Memiliki ijazah Doktor Perubatan (MD) atau Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS atau MBChB) atau lain-lain ijazah doktor perubatan yang setaraf dengannya dari universiti yang diiktiraf.
  2. Calon mestilah memiliki pendaftaran penuh daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan mempunyai Sijil Amalan Tahunan yang sah.
  3. Calon perlu berkhidmat sebagai pegawai perubatan (Medical Officer) sekurang-kurangnya tiga (3) tahun selepas menamatkan housemanship.
  4. Calon perlu LULUS peperiksaan kemasukan yang dianjurkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MedEx (Medical Specialist Pre-entrance Examination)) .
  5. Calon dari luar negara dikehendaki mengemukakan dokumen yang berkaitan untuk pengesahan dan semakan universiti serta memenuhi syarat-syarat kemasukan universiti.

 

CALON ANTARABANGSA/LUAR NEGARA

  1. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan atau setaraf dengannya daripada Universiti yang boleh didaftarkan di bawah Akta Pengamal Perubatan 1971 (Akta No.50) Malaysia;
  2. Berkelayakan dan boleh memperoleh Sijil Perkhidmatan Sementara (Temporary Practising Certificate (TPC)) dari Majlis Perubatan Malaysia (MPM)
  3. Mempunyai Sijil Perkhidmatan Baik (Certificate of Good Standing (COGS)) sama ada dari Majlis Perubatan negara calon berkhidmat sebelumnya dan/atau hospital dan/atau hospital universiti;
  4. Mempunyai pengalaman klinikal tidak kurang dari tiga (3) tahun selepas pendaftaran pengamal; sebaik-baiknya dalam bidang Perubatan Keluarga/Penjagaan Primer atau berkaitan yang disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan;
  5. Mempunyai yuran indemniti perubatan (Perubatan Keluarga/Penjagaan Primer); dan
  6. Lulus Bahasa Inggeris mengikut syarat yang ditetapkan oleh Universiti

 

YURAN PENGAJIAN

Postgraduate Tuition Fee - Session Local Students

 

AKREDITASI (MQR)

Master Perubatan Keluarga

 

MAKLUMAT PERHUBUNGAN

Penyelaras Program
:
Dr. Hanifatiyah Ali
No. Tel
:
03-9769 2538
E-mel
:
fatiyah@upm.edu.my
 

atau 

 
Unit Siswazah Perubatan
Pejabat Timbalan Dekan (Akademik Perubatan)
mmed.medic@upm.edu.my

 

Kemaskini:: 22/07/2026 [qayyumalemilhadie]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2602
00000
X, (06:50:15pm-06:55:15pm, 09 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]